Isnin, 9 Mei 2016 | 5:08pm

Projek banglo mewah diarah henti, 25 pekerja ditahan

PENGARAH Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu, Annis Othman menampal notis menghentikan operasi binaan selepas pihak kontraktor melakukan kesalahan tidak berdaftar dengan CIDB dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pelbagai Jabatan 2016 anjuran CIDB Negeri Terengganu di Tapak Pembinaan Rumah Teres di Jalan Sultan Zainal Abidin. - Foto Aswadi Alias
PENGARAH Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu, Annis Othman menampal notis menghentikan operasi binaan selepas pihak kontraktor melakukan kesalahan tidak berdaftar dengan CIDB dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pelbagai Jabatan 2016 anjuran CIDB Negeri Terengganu di Tapak Pembinaan Rumah Teres di Jalan Sultan Zainal Abidin. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Seramai 25 pekerja binaan warga asing ditahan manakala sebuah projek pembinaan rumah banglo mewah dihentikan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB), pagi ini.

Operasi dilakukan di dua tapak, membabitkan projek pembinaan hotel di Chendering dan lapan banglo mewah berhampiran Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.

Mereka ditahan kerana tidak memiliki Kad Perakuan Personel Binaan atau Kad Hijau manakala kontraktor tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Pengarah CIDB negeri, Annis Othman, berkata susulan kesalahan itu, notis Kad Hijau (Tindakan Tatatertib) Peraturan 15 (1) Akta CIDB dikeluarkan kepada kontraktor utama manakala satu projek terpaksa diberhentikan serta-merta.

"Risikan sejak dua minggu lalu mendapati sebuah projek dijalankan tanpa mendaftar dengan pihak kami manakala kebanyakan pekerja tidak mempunyai Kad Perakuan Personel Binaan.

"Justeru, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka melalui Akta 520 (Pindaan) 2011," katanya.

Operasi bersepadu bermula pada jam 9.30 pagi hingga 2 petang itu turut disertai oleh 45 anggota termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Pejabat Kesihatan Negeri (JKNT), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMT).

Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen menahan 23 warga asing kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen iaitu memiliki tidak dokumen perjalanan sah, tiada permit kerja dan tinggal melebihi tempoh.

SPAN turut berjaya mengesan kesalahan membina sistem pembetungan air tanpa kelulusan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X