Selasa, 10 Mei 2016 | 12:06am

Irfan mahu pingat Olimpik sebelum kahwin


ATLET lempar cakera, Mohd Irfan Shamsuddin. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SEREMBAN: Antara masalah sering dihadapi orang yang berbadan besar adalah sukar mencari pakaian yang sesuai dan menarik untuk digayakan.

Ia dialami sendiri atlet lempar cakera Mohd Irfan Shamsuddin, 21, yang merobohkan tembok 46 tahun negara dengan memenangi pingat emas dalam acara berkenaan pada Sukan SEA Myanmar 2013.

Keluarga terpaksa menempah baju sekolah kerana pakaian yang dijual di kedai, tidak sesuai dengan fizikalnya.

Mengimbas masalah itu, bapanya, Shamsuddin Thani mengakui beliau dan isteri, Robiah Md Sidek sukar mencari baju sekolah yang sesuai untuk anak bongsu daripada sembilan beradik terbabit.

"Bukan saja dirinya, tetapi adik-beradiknya yang lain juga mempunyai fizikal yang besar. Jadi, tidak hairan sebahagian pakaian harian termasuk seragam sekolah sejak kecil terpaksa ditempah kerana pakaian yang dijual di kedai atau pasar raya tidak sesuai," kata Shamsuddin.


IRFAN meluangkan masa bersama keluarga di kediamannya di Gadong Lalang, Ampangan.

Pesara tentera itu bagaimanapun menegaskan tiada makanan khusus diberikan kepada Irfan dan adik-beradik lain hingga memiliki susuk tubuh besar, tetapi tidak menolak kemungkinan disebabkan baka atau keturunan.

Menyingkap sejarah pembabitan Mohd Irfan dalam sukan lempar cakera, Shamsuddin berkata, anaknya itu lebih meminati bola sepak, namun aktiviti itu dilakukan selepas waktu sekolah di Kampung Temiang, Seremban.

Irfan mula belajar di Sekolah Rendah Agama Sri Islam Seremban sehingga Tahun Empat sebelum berpindah ke Sekolah Rendah King George V sehingga ke Tahun Enam dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Zaaba (SMKZ).

Katanya, bakat Irfan dalam sukan lebih menyerlah menerusi acara bola baling dan ragbi serta pernah mewakili sekolah ke kejohanan peringkat negeri khususnya Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) selain turut mendapat perhatian kelab ragbi terkenal, NS Wanderers.


IRFAN (kanan) bersama rakan ketika berusia 12 tahun.

"Sebenarnya bakatnya dalam acara lempar cakera tidak begitu menonjol ketika di sekolah menengah berbanding sukan lain seperti bola baling dan ragbi, malah pernah muncul pemain terbaik dalam satu kejohanan ragbi peringkat negeri ketika Tingkatan Dua.

"Namun, ibunya kurang menggalakkan dia babitkan diri dalam ragbi kerana bimbang cedera. Ini kerana Mohd Irfan pernah cedera pada kaki kirinya ketika latihan dan menyertai kejohanan, tetapi dia tidak patah semangat sebaliknya terus aktif dalam sukan itu.

"Mungkin pendedahan yang lebih menyeluruh ketika dia di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) membolehkan kebolehan dan prestasinya dalam acara lempar cakera meningkat naik.

"Tambahan pula saya lihat dia punyai seorang jurulatih yang bagus. Kami lihat jurulatih itu menjaga Mohd Irfan seperti anak sendiri dan ini suatu pendekatan yang baik serta antara elemen yang dapat membantu dia mencapai tahap prestasi terbaik," katanya.


IRFAN beraksi dalam acara lempar cakera di Stadium Nasionol Kallang. - Foto Osman Adnan

Sementara itu, Mohd Irfan menegaskan selagi tidak dapat pingat di Sukan Olimpik, dia tidak akan berkahwin.

Mungkin kenyataan itu kelihatan angkuh kerana tiada sesiapa yang mampu melawan takdir, tetapi sebenarnya ia membuktikan semangat tinggi yang dimiliki atlet lempar cakera itu dalam mengulas impiannya meraih pingat di pentas terunggul berkenaan satu hari nanti.

Pemuda itu melakar kejutan dengan menamatkan kemarau 46 tahun negara memenangi pingat emas dalam acara berkenaan di Sukan SEA Myanmar bulan lalu menetapkan sasaran memenangi pingat Olimpik pada usia 25 tahun.

"Lempar cakera ini masa depan saya, selagi tidak dapat pingat Sukan Olimpik. Saya tidak berhasrat untuk berkahwin, apa lagi mempunyai keluarga.

"Saya akan jadikan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro sebagai permulaan. Di situ, saya akan belajar dan menimba pengalaman sebelum merealisasikan impian saya mendapatkan pingat idaman di Sukan Olimpik Tokyo pada 2020," katanya.

Mohd Irfan mendedahkan, dia banyak mempelajari cara membuat lemparan terbaik menerusi You Tube dan menganggap saluran media sosial itu mampu menjadi 'guru' kedua kepadanya untuk memperbaiki lemparan, selain tunjuk ajar jurulatihnya, Fero Petrovic.

"Saya suka buka You Tube, kaji macam mana cara dan posisi yang sesuai bagi mendapatkan lemparan yang jauh. Saya selaku kaji cara lemparan atlit idola, Robert Harting dan Lars Riedel, pelempar cakera dari Jerman. Saya harap mampu jadi seperti mereka satu hari nanti.

"Malah, bila tengok cermin, saya cakap dengan diri sendiri untuk berusaha jadi seperti mereka," katanya yang pernah mahu berhenti selepas gagal mendapat lemparan terbaik selepas beberapa kali mencuba.

Berita Harian X