Rabu, 11 Mei 2016 | 10:57am

Lelaki parah, motosikal terperosok bawah lori


KERETA tersangkut di atas pembahagi jalan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, berhampiran susur keluar Bandar Springhill.

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan jam 12.20 tengah malam berhampiran susur keluar ke Bandar Springhill, motosikal itu terperosok di bawah lori tangki, manakala kereta tersangkut di atas pembahagi lebuh raya.

Seorang penumpang kereta cedera ringan manakala pemandu lori tangki tidak mengalami kecederaan.

Ketua Operasi Balai Bomba Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badroltamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.31 tengah malam.

Sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah malam, mendapati penunggang motosikal berada di tepi lori tangki.

"Penunggang motosikal yang cedera di tangan, kaki dan muka, dihantar dengan ambulans ke Hospital Port Dickson," katanya.

Berita Harian X