Rabu, 11 Mei 2016 | 1:06pm

SPRM tahan 3 penguat kuasa JPJ Perlis

ANGGOTA SPRM mengiringi seorang daripada tiga penguatkuasa JPJ yang ditahan untuk diambil keterangan di pejabat SPRM Alor Setar berhubung dakwaan menerima suapan daripada pemandu lori. - Foto Amran Hamid
ANGGOTA SPRM mengiringi seorang daripada tiga penguatkuasa JPJ yang ditahan untuk diambil keterangan di pejabat SPRM Alor Setar berhubung dakwaan menerima suapan daripada pemandu lori. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Tiga penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana didakwa menerima suapan daripada pemandu lori.

Penguat kuasa berusia 30-an dan 40-an, ditahan di pejabat mereka di Kangar, Perlis, jam 9 pagi semalam, susulan aduan pemilik lori berhubung perkara berkenaan, Ahad lalu.

Sumber memberitahu, mereka dikatakan menerima rasuah RM1,500 daripada pemandu lori berusia 40-an itu sebagai suapan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahannya.

Pemandu lori melakukan kesalahan kerana lori berkenaan tidak mempunyai cukai jalan sah serta membawa lebihan muatan iaitu dedak ayam untuk dieksport ke Thailand.

"Pemandu lori bersetuju membayar RM1,500 dan membuat pembayaran pendahuluan RM500, manakala bakinya dibayar melalui mesin deposit wang," katanya.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Berita Harian X