Khamis, 12 Mei 2016 | 8:10pm

Media Prima raih pendapatan RM304j suku pertama

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd kumpulan media bersepadu sepenuhnya terkemuka di Malaysia, giat mencari peluang baharu bagi mengembangkan lagi aliran hasil bukan tradisional.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata perubahan pesat dalam industri media membuka pelbagai peluang bagi kumpulan untuk menjana aliran pendapatan baru, sementara syarikat menyatukan bahagian pasaran dari hasil pengiklanan teras.

Katanya, kumpulan pada 2016 melancarkan beberapa usaha utama yang bersifat 'Perniagaan kepada Pengguna' seperti platform beli-belah di rumah, CJ Wow Shop, perkhidmatan aliran video yang diperbaharui, "tonton", serta penjanaan aplikasi untuk pengguna peralatan mudah alih.

"Ramalan Kumpulan mengenai keadaan pasaran mendatar yang berpanjangan terbukti tepat, dengan hasil pengiklanan yang sama atau rendah dicatatkan oleh sebilangan platform media kami.

"Dalam industri media, faktor seperti pemecahan kumpulan pelanggan, kemajuan teknologi, perubahan dalam kaedah pengiklanan tradisional kepada media digital dan peningkatan persaingan daripada syarikat media global terus memberi cabaran kepada kumpulan pada suku tahun pertama 2016." katanya dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Kumpulan itu mencatat pendapatan sebanyak RM304.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2016, turun sebanyak lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu susulan hasil pengiklanan teras dan jualan akhbar menurun sebanyak lima peratus dan 23 peratus.

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) pula berjumlah RM17.2 juta berbanding RM19.4 juta pada tempoh suku pertama 2015.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Sri Amrin Awaluddin, berkata prospek bagi tahun 2016 kekal mencabar berikutan sentimen pasaran yang mengambil langkah berhati-hati susulan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, industri menjangkakan peningkatan satu digit dalam perbelanjaan pengiklanan untuk tahun ini, yang mana syarikat berusaha untuk mengoptimumkan perbelanjaan pengiklanan dan promosi perniagaan mereka.

"Usaha kami dalam penjanaan perniagaan media bukan tradisional akan membantu hasil pendapatan perniagaan tradisional sedia ada, yang kini terdedah dengan sentimen ekonomi dan pasaran yang merudum," katanya.

Memandangkan prospek perbelanjaan pengiklanan semasa yang masih mencabar, Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) melancarkan program beli-belah di rumah dan perkhidmatan 'video on demand' yang dijangka mampu menjana aliran pendapatan baru.

Penyusunan semula portal video no 1 di Malaysia "tonton", yang kini mempunyai 5.6 juta pengguna berdaftar, dan peralihan kandungan 'urban' di 8TV ke Studio8, yang boleh diakses secara eksklusif dalam talian melalui YouTube, dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan dominan RTPM di antara saluran televisyen percuma tempatan.

Sementara itu, Kool FM yang dilancarkan baru-baru ini memberi peluang kepada Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) untuk mengembangkan segmen radio berbahasa Melayu yang lebih matang.

RRMP akan terus bersaing untuk pendengar dan mendekati para penonton, pelanggan dan agensi-agensi di media digital dan sosial.

RRMP mempunyai salah satu pengikut terbesar di media sosial dengan lebih daripada 6.2 juta pengguna menggunakan aplikasi digital untuk setiap empat stesen radio miliknya.

Sementara itu, syarikat pengiklanan luar Media Prima, Big Tree Outdoor ("BTO"), akan meneruskan strateginya untuk mengembangkan lagi pengiklanan luar digital ke tapak utama dan premium sambil berusaha untuk mendapatkan konsesi utama yang baru bagi laluan aliran transit yang telah menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan pada tahun 2015.

BTO kini menguasai 44 peratus dari pasaran pengiklanan media luar.

Bagi media cetak, New Straits Times Press (M) Berhad ("NSTP") pula akan terus mempelbagaikan aliran pendapatannya bagi meningkatkan penawaran jenama dan kandungannya.

Ini termasuk pelancaran aplikasi mesra mudah-alih bagi New Straits Times, BH dan Harian Metro yang turut menawarkan kandungan berita melalui platform digital seperti laman sewawang berita, ePaper, Google Play Newsstand serta saluran media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

Kumpulan juga menawarkan berita dan kandungan melalui majalah digital interaktif ZIP, Tech Kingdom, Speed & Wheels serta Premium BH Plus.

Dalam penghasilan kandungan, Primeworks Studios ("PWS"), syarikat produksi Media Prima, akan terus menghasilkan kandungan hit untuk MPTN dan pasaran luar, termasuk untuk platform digital barunya.

Program yang dihasilkan PWS kini mendominasi 10 program teratas dengan jumlah penonton tertinggi di Malaysia di setiap saluran televisyen pada tahun 2015.

Penciptaan kandungan juga akan mengharapkan kepada kejayaan BoBoiBoy The Movie yang kini berjaya meraih kutipan tertinggi bagi filem animasi tempatan di Malaysia, di mana cabang syarikat pengedaran PWS, Primeworks Distribution, mendapat hak pengedaran eksklusifnya.

Media Prima Digital (MPD) pula akan memanfaatkan harta intelek (IP) unik milik Kumpulan dalam menyediakan platform-platform baru untuk produk dan perkhidmatan digital dan mudah alih.

MPD melalui MP Labs, melancarkan dua aplikasi digital dan permainan menggunakan IP unik Kumpulan iaitu aplikasi JJCM, yang berlandaskan salah satu daripada program TV paling lama siarannya Jalan Jalan Cari Makan.

JJCM dan permainan digital Ejen Ali: Akademi Latihan MATA kini menikmati sambutan yang menggalakkan selepas dimuat turun lebih daripada 100,000 kali dalam tempoh tiga minggu sejak mula dikeluarkan awal Mac.

Berita Harian X