Jumaat, 13 Mei 2016 | 12:31am

Dua tahun tunggu Rumah Mesra Rakyat terbengkalai


EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman. - Foto Rasul Azli Samad

MASJID TANAH: Hasrat sepasang suami isteri untuk mendiami Rumah Mesra Rakyat di atas tanah milik keluarga masih kabur berikutan kegagalan kontraktor menyiapkan rumah yang sudah terbengkalai selama lebih dua tahun.

Kamarulzaman Mohd Salleh, 33, mendakwa sebaik mendapat kelulusan pembinaan rumah berkenaan pada Februari 2014, kontraktor dilihat mula menjalankan kerja-kerja pembinaan di atas tanah milik keluarganya di Kampung Air Hitam Darat, Tanjung Bidara, di sini.

"Bagaimanapun, projek itu terhenti tanpa menyiapkan beberapa bahagian dalam rumah selain berlaku banyak keretakan pada dinding dan lantai.

"Apa yang dikesalkan, projek pembinaan rumah ini mulai terbengkalai pada Ogos 2014, sedangkan ia dijadualkan siap pada pertengahan 2014," katanya ketika ditemui hari ini.

Berikutan itu, dia dan isteri, Siti Hajar Abd Ghani, 34, buntu memikirkan perkembangan rumah yang sudah siap sebanyak 80 peratus sebelum kontraktor menghentikan projek dan menghilangkan diri.

Katanya, mereka sebelum ini ada membuat aduan kepada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) tetapi dimaklumkan pihak kontraktor gagal untuk dihubungi.

"Sudahlah rumah ini terbengkalai, berlaku banyak keretakan pada ruang tamu, bilik, lantai rumah serta siling di luar rumah yang sudah bocor.

"Hingga kini saya terpaksa menyewa rumah di taman perumahan berdekatan dengan pendapatan bekerja di kilang kurang RM1,000," katanya yang terbeban kerana perlu membayar banyak tunggakan lain.

Sehubungan itu, Kamarulzaman berharap kerajaan melalui SPNB mengambil tindakan tegas ke atas kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembinaan rumah sehingga membebankan nasib pemilik rumah berkenaan.

"Saya sangat berharap rumah ini dapat disiapkan sebelum Ramadan ini, sebelum saya sekeluarga boleh meraikan sambutan Aidilfitri di rumah baharu ini," katanya.

Sementara itu, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman, berkata beliau berjanji untuk turun padang melihat keadaan rumah terbengkalai itu dan mahu kontraktor yang dipertanggungjawabkan dikenakan tindakan tegas.

27 dibaca
Berita Harian X