Jumaat, 13 Mei 2016 | 6:05am

Dunia iktiraf pendidikan tinggi kita


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kiri) bertemu para pelajar yang memenangi pertandingan debat paling kompetitif iaitu "Cambridge Intervarsity Debating" pada 20 dan 21 November yang lalu. - Foto BERNAMA

SAYA gembira apabila mendengar berita bahawa dua pendebat Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mifzal Mohammed dan Jasmine Ho Abdullah, memenangi kategori utama Pertandingan Debat Antara Universiti Cambridge pada Oktober 2015 di United Kingdom.

Dalam perjalanan menuju ke arah kemenangan, mereka mengalahkan pendebat universiti terkemuka dunia seperti Oxford dan Harvard, termasuk Cambridge di gelanggang mereka sendiri.

Saya bersyukur kerana pelajar kita dari UiTM membuktikan bahawa mahasiswa Malaysia berkebolehan berfikir dan berhujah secara kritis dan kreatif, serta boleh berjaya di persada antarabangsa lebih-lebih lagi dalam bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa Mifzal, pelajar undang-undang UiTM, dipilih sebagai Ketua Hakim bagi Kejohanan Debat Universiti Sedunia di Mexico pada Disember 2017 hingga Januari 2018. Saya diberitahu ini adalah kejohanan debat paling berprestij di dunia dan disertai lebih 1,000 peserta setiap tahun.

Terima dua anugerah

Pada April lalu, saya menerima berita bahawa seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menerima dua anugerah pendidikan antarabangsa. Profesor Datuk Dr Mohamed Amin Embi dianugerahkan Anugerah Pendidik Individu dan Anugerah MOOC Terbuka (Pembelajaran Atas Talian) oleh Konsortium Pendidikan Terbuka (OEC) di Poland.

Bagi Anugerah Pelajaran Individu, beliau antara dua individu di dunia menerimanya. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau memajukan konsep pendidikan terbuka dan inovasi pendidikan sejak 15 tahun lalu. Beliau juga seorang Islam dan warga Malaysia pertama menerima anugerah antarabangsa berprestij ini.

Bagi Anugerah MOOC Terbuka pula, kursus beliau bertajuk 'Memikirkan Semula Pengajaran, Mereka Bentuk Semula Pembelajaran' dipilih antara MOOC paling inovatif dan berkualiti di dunia. MOOC bermaksud Massive Open Online Course adalah kursus atas talian secara percuma dan MOOC ciptaan Dr Mohamed Amin ini boleh dipelajari di OpenLearning.com. Sehingga kini, MOOC beliau mempunyai lebih 2,300 pelajar dari lebih 80 negara.

Saya turut menghadiri ceramah Dr Mohamed Amin di UNITAR beberapa hari lalu dan berpendapat beliau seorang berwawasan dari segi pendekatan pendidikan. Dalam ucapannya, beliau menyentuh peranan guru, teknologi dan pelajar pada masa akan datang. Malaysia berbangga dengan beliau.

Pada awal Mei, saya amat gembira menerima laporan mengatakan hanya Malaysia dan Jerman daripada 26 negara yang dikaji, dinamakan sebagai 'negara pencapaian terbaik' dalam satu laporan British Council bertajuk 'Keadaan Semasa Pendidikan Tinggi Global' Malaysia dan Jerman menerima penarafan 'sangat tinggi' dalam semua kategori yang dinilai termasuk jaminan kualiti dan pengiktirafan, akses dan kelestarian serta keterbukaan. Laporan itu menyatakan, Jerman dan Malaysia mempunyai portfolio paling seimbang berkaitan dasar negara yang menyokong perkembangan pendidikan tinggi antarabangsa'.

Alhamdulillah. Laporan ini membuktikan bahawa usaha kerajaan menjadikan Malaysia hab pendidikan antarabangsa berjalan secara positif. Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan kita menyediakan pendidikan berkualiti dan terbaik untuk rakyat Malaysia dan pelajar antarabangsa. Di atas adalah hanya sebahagian kisah kejayaan pendidikan tinggi terkini. Ada banyak lagi.

Sebagai contoh, pada awal Mac, tiga subjek ditawarkan universiti awam (UA) kita tersenarai 50 teratas dunia menurut QS World University Rankings by Subject 2016. Universiti Malaya (UM) mendahului dengan dua mata pelajaran, iaitu Kajian Pembangunan di tangga ke-30 dunia, dan kejuruteraan elektrik dan elektronik di tangga ke-37. Universiti Sains Malaysia (USM) berada di kedudukan ke-46 bagi Kejuruteraan Kimia. Selain itu, 13 subjek tersenarai dalam kelompok 100 terbaik termasuk subjek seni bina, dasar sosial, pertanian, farmasi, pendidikan, sains komputer dan kejuruteraan aeronautik.

Hasil penyelidik diiktiraf dunia

Awal tahun ini, tiga penyelidik UA dinamakan 'Minda Saintifik Dunia Paling Berpengaruh' oleh organisasi antarabangsa masyhur, Thomson Reuters, kerana hasil kerja dan penerbitan penyelidik tersebut adalah antara paling tinggi di dunia. Ini bermakna, hasil ilmu mereka disitasi dan dirujuk oleh penyelidik lain dari seluruh dunia.

Daripada tiga profesor itu, dua adalah rakyat Malaysia dan seorang dari Iraq. Mereka adalah Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud dan Prof Dr Siti Kartom Kamarudin, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan seorang lagi, Prof Dr Bassim Hameed dari USM. Mereka pakar bidang kejuruteraan kimia. Mesej yang saya ingin sampaikan adalah bahawa sistem pendidikan tinggi kita sedang meningkat ataupun Soaring Upwards.

Istilah ini adalah moto kementerian yang membawa maksud peningkatan secara berterusan. Malangnya, ramai tidak mengetahui kejayaan ini dan sebaliknya suka mengkritik atau merendahkan sistem pendidikan negara.

Saya berharap kita dapat berbangga dengan pencapaian dan kisah kejayaan pensyarah, pelajar dan warga pendidikan tinggi negara. Saya janji dengan rakyat Malaysia, Insha-Allah kita akan lahirkan sistem pendidikan tinggi yang global dan cemerlang. Kita akan bangga dengan pendidikan tinggi negara. Bangga kita sebagai rakyat Malaysia.

Berita Harian X