Jumaat, 13 Mei 2016 | 6:16pm

176 pelajar cirit birit makan nasi ayam

PENGARAH Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. - Foto Aswadi Alias
PENGARAH Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Seramai 176 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di Dungun mengalami keracunan makanan selepas makan nasi ayam yang disediakan di dewan makan asrama sekolah itu, malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata semua pelajar berkenaan mengadu sakit perut dan cirit birit semalam dengan pihak sekolah memantau keadaan pelajar.

"Pemantauan kemudian mendapati seramai 23 pelajar masih mengalami simptom keracunan makanan dan mereka kemudian dihantar ke Hospital Dungun semalam, untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Pelajar kemudian dibenarkan pulang semula ke asrama dan semakin pulih. Pihak sekolah sudah memaklumkan ibu bapa mengenai keadaan anak mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shafruddin berkata, pihak Pejabat Kesihatan daerah sudah melaksanakan pemeriksaan di dewan makan sekolah berkenaan dan mengeluarkan notis penutupan sementara selama seminggu bagi tujuan pembersihan.

"Ini adalah kes pertama seumpamanya pada tahun ini dan kita memberi amaran keras kepada pengusaha kantin sekolah supaya menyediakan makanan dan tempat makan yang bersih supaya kejadian ini tidak berulang.

"Sebarang tindakan lanjut terhadap operator dewan makan berkenaan akan diambil selepas memperoleh hasil siasatan daripada Pejabat Kesihatan daerah," katanya.

Berita Harian X