Sabtu, 14 Mei 2016 | 5:32pm

DCA mungkin tarik lesen operasi Rayani Air

KETUA Pengarah Jabatan Penerbangan Awam , Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika majlis Forum Industri Penerbangan : Melangkah Kehadapan di Menara Razak, UTM.- Foto Saddam Yusoff
KETUA Pengarah Jabatan Penerbangan Awam , Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika majlis Forum Industri Penerbangan : Melangkah Kehadapan di Menara Razak, UTM.- Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Lesen mengendalikan operasi penerbangan milik Rayani Air berkemungkinan ditarik semula sekiranya inkuiri oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mendapati syarikat penerbangan patuh syariah itu didapati gagal mematuhi garis panduan operasi.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya juga mungkin memanjangkan tempoh penggantungan operasi syarikat itu berdasarkan peruntukan Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Bagaimanapun, katanya, DCA masih belum membuat sebarang keputusan terhadap Rayani Air kerana pihaknya masih menganalisis inkuiri yang dilaksanakan terhadap syarikat itu pada Khamis lalu.

"Inkuiri pada Khamis lalu mengenalpasti beberapa perkara yang diajukan kepada Rayani Air dan pihak pengurusan datang memberi keterangan, selain ada soalan kami tujukan pada mereka.

"Pihak pengurusan Rayani Air telah menjawab semua soalan yang diajukan dan segalan jawapan akan dianalisa oleh DCA. Hasil inkuiri belum dapat dimaklumkan secara terperinci dan ia akan diumumkan apabila kami bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Industri Penerbangan: Menuju Kehadapan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Khamis lalu, Pengarah Kewangan Rayani Air, Datuk G Karthiyani, menghadiri sesi inkuiri di DCA berikutan pelbagai aduan diterima terhadap syarikat penerbangan patuh syariah itu.

Azharuddin berkata, ketidakhadiran pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran tidak akan menjejaskan proses inkuiri itu kerana wakil pengurusan syarikat menjawab segala soalan.

Ketika ditanya keperluan DCA memanggil pengurusan syarikat itu buat kali kedua, Azharuddin berkata, pihaknya belum memutuskan perkara itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X