Ahad, 15 Mei 2016 | 12:04am

Sungai Panjang miliki keindahan tersendiri

INAP desa Sungai Haji Dorani terkenal sebagai destinasi popular pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa. - Foto Zunnur Al Syafiq

MEMANDU melalui jalan lama Sungai Buloh ke Sungai Panjang, Selangor, menjadi satu pengembaraan menyeronokkan kepada penulis yang berasal dari Pantai Timur.

Sungai Panjang adalah sebuah mukim terletak dalam Sungai Besar.

Perjalanannya tidak terlalu jauh, namun perlu berhati-hati berikutan keadaan jalan raya tidak rata dan merekah.

Pemanduan santai dengan kadar kelajuan 60 hingga 80 kilometer sejam (km/j) melintasi jalan berliku, ladang kelapa sawit nyata membuai perasaan penulis.

Suasana cuaca pagi terang bersinar mengiringi perjalanan lancar kami ke daerah kesembilan terbesar menempatkan tiga pekan utama, Sungai Besar, Sekinchan serta Sabak Bernam.

Sepanjang perjalanan, pandangan mata dijamu dengan keindahan alam semula jadi, deretan kelapa sawit, rumah ladang, gelagat masyarakat tempatan dan kesibukan bandar kecil.

Bagi penulis, pengembaraan selama sehari secara memandu atau roadtrip, kaedah popular dalam kalangan orang muda meneroka keindahan sesuatu tempat dengan cara tersendiri memang tidak mencukupi.

Walaupun dianggap singkat, tetapi dengan dengan memandu juga, penulis dapat menemui sesuatu yang bernilai, makan baharu, lokasi luar biasa atau berkenalan teman baru.

MENGETAHUI proses penanaman padi. - Foto Zunnur Al Syafiq

Sungai Panjang terletak dalam daerah Sabak Bernam dengan aktiviti ekonomi utamanya berasaskan pertanian dan perladangan.

Lebih 50 peratus tanah daerah Sabak Bernam digunakan untuk tanaman kelapa, padi, kelapa sawit, koko, sayuran dan buahan.

Sebahagian besar penduduk di sini adalah masyarakat Melayu berketurunan Jawa, Banjar, Kampar dan Bugis.

Keunikan suku masyarakat Melayu berkenaan apabila mereka berbual menggunakan loghat, adat berlainan dan pengkhususan kawasan tempat tinggal di kalangan suku berbeza.

Misalnya, Kampung Batu 40, Kampung Sungai Bugis dan Kampung Sungai Panjang, didiami penduduk berketurunan Bugis dan Jawa.

Perjalanan KL - Sabak Bernam melalui :

* Ladang Mangga Sungai Limau

Diusahakan orang kampung tempatan dengan lokasi ladang terletak kira-kira lima hingga tujuh kilometer (km) dari pekan Sungai Besar.

Sekiranya melalui jalan sekitar Sabak Bernam, deretan penjaja menjual pelbagai buahan hasil kebun mereka seperti keledek, jagung, jambu air dan ciku.

Tambah menarik, setiap kali musim buah mangga, berderet gerai di sepanjang jalan antara Kuala Selangor - Teluk Intan menjual buah mangga yang terkenal dengan kemanisannya. Berbual dengan penjual buah di tepi jalan dan mungkin anda sebagai pengunjung atau pengembara boleh dibawa melawat ladang mangga.

* Sekinchan

Masyarakat Cina menamakannya sebagai kampung sesuai peladangan pembekal beras utama di negara kita.

Penduduknya dikenali secara meluas bertani, bukannya perkampungan nelayan. Melalui jalan raya utama, pengembara boleh memandu di jalan yang menghubungkan pekan dengan kampung kecil di tengah sawah.

Sepanjang perjalanan, pemandangan saluran air, jambatan kecil, burung dan orang padi menyapa pandangan anda. Di sini, anda boleh melawat kilang beras dan mengetahui proses penanaman padi, jenis beras dan membeli beras terhad, yang tiada terjual di pasaran.

Selain itu, jangan lupa singgah menjenguk perkampungan nelayan, yang turut menempatkan jeti bot nelayan.

Nikmati cendol yang menyelerakan. - Foto Zunnur Al Syafiq

* Persinggahan Etnik Jawa

Inap desa Sungai Haji Dorani terkenal sebagai destinasi popular pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sejak pengenalan konsep inap desa, pembukaan kampung diadakan secara berperingkat. Hingga kini, sudah ada empat buah kampung inap desa etnik Jawa.

Kelebihannya, persembahan kebudayaan unik kuda kepang, barongan, gamelan dan jawa kompang tidak boleh dilepaskan.

Makanan mencerminkan adat dan tradisi Jawa, permainan gogoh ikan (mengagau ikan keli dalam bendang), mempelajari pembuatan layang-layang tradisional, wau dan aktiviti melukis batik atau bermain boling padang menanti anda.

FAKTA NOMBOR

  • 96 km

    Jarak dari KL ke Sekinchan

  • 119 km

    Jarak Sungai Besar dari KL

  • 130 km

    Jarak antara KL ke Sabak Bernam

  • 166 km

    Jarak dari KL ke Teluk Intan

    (melalui Kuala Selangor & Sabak Bernam)

Berita Harian X