Isnin, 16 Mei 2016 | 6:50pm

Pencuci kereta maut dikelar di leher

KUCHING: Seorang pencuci kereta mati akibat dikelar di leher dalam pergaduhan di tepi jalan Lorong Cahaya Damai 18, Bandar Semariang, di sini tengah malam tadi, dan polis telah menahan tujuh suspek termasuk suspek utama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Ernest John, berkata mangsa yang mati di tempat kejadian dikenali sebagai Satiban Ak Polis, berusia 20 tahun.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerima panggilan pada kira-kira 1.15 pagi daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan dan telah menyebabkan kematian seorang lelaki Iban di Lorong Cahaya Damai 18.

Katanya, menurut seorang saksi, kira-kira pukul 12 malam tadi, si mati yang ketika itu bersama-sama 11 kawannya sedang dalam perjalanan balik ke rumah setelah selesai minum di tepi jalan Lorong Cahaya Damai 18 apabila tiba-tiba dihampiri sebuah van yang dinaiki suspek utama dan empat anggota keluarganya.

"Suspek utama turun dari van dan mengajak si mati untuk terus minum tetapi si mati dan rakan-rakannya enggan.

"Suspek utama yang dalam keadaan mabuk naik berang dan berlaku pergaduhan dan saksi nampak suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat dan menyerang si mati sehingga rebah di atas jalan raya," katanya.

Ernest berkata, dua lelaki yang juga rakan si mati dan dua lelaki anggota keluarga suspek utama turut cedera dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Katanya suspek utama berumur 31 tahun ditahan di sebuah rumah di Bandar Semariang pada kira-kira 2 pagi tadi manakala turut ditahan reman empat anggota keluarga suspek utama dan dua rakan si mati untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh pakar bedah forensik mendapati punca kematian pencuci kereta itu adalah kesan hirisan pada leher.

Katanya, siasatan polis di tempat kejadian turut menemui sebilah pedang samurai yang dipercayai dibawa oleh rakan si mati yang datang untuk memberi pertolongan. - BERNAMA

Berita Harian X