Isnin, 16 Mei 2016 | 8:47pm
KAWASAN rekreasi Jeram Toi ditutup kerana disyaki berlakunya jangkitan kencing tikus atau Leptospirosis.

Lokasi perkelahan dipantau elak penyakit kencing tikus

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri diarah memantau dan melakukan pemeriksaan air di semua lokasi perkelahan dan rekreasi di seluruh negeri bagi mengelak berlaku jangkitan penyakit kencing tikus atau Leptospirosis kepada pengunjung.

Lokasi perkelahan terutama di kawasan air terjun di seluruh negeri ini menjadi tumpuan pengunjung selepas negara dilanda cuaca panas melampau berikutan fenomena El Nino.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata kerajaan negeri tidak bercadang mengisytihar semua kawasan perkelahan dan rekreasi sebagai bebas daripada virus kencing tikus.

Bagaimanapun, katanya, keadaan di semua kawasan perkelahan dan rekreasi masih terkawal dan jika didapati terdapat tanda kawasan itu mengandungi virus kencing tikus, notis pemberitahuan akan dipasang untuk makluman awam.

"Kita akui semua kawasan perkelahan dan rekreasi di negeri ini ada virus kencing tikus, tetapi ia bergantung kepada jumlah air. Jika air banyak virus itu tidak mudah untuk berjangkit," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang penuntut Kolej Lagenda di Mantin dan dua penuntut lelaki Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, Negeri Sembilan, meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti Leptospirosis, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan dijangkiti Leptospirosis serta demam selepas mandi di Jeram Toi, Negeri Sembilan dan dirawat di Hospital Tengku Jaafar (HTJ), Seremban.

Muhammad Pehimi berkata, pengunjung ke kawasan perkelahan dan rekreasi juga diminta menjaga kebersihan dan tidak membuang sisa makanan kerana tindakan itu boleh menyebabkan pembiakan tikus.

44 dibaca
Berita Harian X