Selasa, 17 Mei 2016 | 12:03am
BADRUL Hisam tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya menerima cabaran yang dihadapi dengan reda dan yakin. - Foto Aswadi Alias

"Saya terima takdir"


JERTIH: Bukan kecil ujian jika seseorang pernah melihat tetapi tiba-tiba menjadi buta.

Jika tidak kuat semangat, pasti tewas dengan ujian boleh mengganggu kehidupan.

Keadaan itu tidak berlaku kepada Badrul Hisam Baharudin, 43, yang kabur penglihatan sejak berusia enam tahun selepas terjatuh ketika bermain dan buta selepas tamat persekolahan menengah.

Selain menjadi usahawan dalam bidang urutan dan refleksologi, Badrul Hisham juga giat dalam sukan boling padang untuk orang kurang upaya (OKU) dan mampu bermain dram dalam kugiran Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan (SBM).

Berbanding rakan senasib lain, Badrul berasakan dirinya agak bertuah kerana sewaktu kecil masih dapat melihat dengan sempurna seperti kanak-kanak lain. 

Selepas menamatkan alam persekolahan, Badrul pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama kira-kira lima tahun sebelum membuat keputusan untuk kembali menetap di kampung halaman apabila deria penglihatannya semakin merosot.

Walaupun penglihatannya semakin hari semakin kabur, beliau bertekad untuk meningkatkan kemampuan diri dengan memulakan langkah pertama menyertai SBM.


BADRUL Hisam tingkatkan kemampuan diri dengan memulakan langkah pertama menyertai Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan (SBM). - Foto Aswadi Alias

Badrul berkata, pembabitannya dalam SBM bermula pada tahun 2009 dan peluang menjadi seorang daripada lebih 300 ahli pertubuhan itu tidak disia-siakan sama sekali.

"Saya sentiasa mencari ruang untuk menyertai pelbagai program dan kursus yang dianjurkan kerana peluang seperti ini bukan selalu ada. 

"Selain dapat meningkatkan kemahiran diri secara tidak langsung mampu menjana pendapatan keluarga.

"Sehingga kini, saya bukan sahaja mahir dalam urutan urut refleksologi, malah  terbabit secara aktif dalam kegiatan sukan, kumpulan muzik serta akiviti keagamaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Cerang Meliling, Jertih di sini.

 Berbekalkan kemahiran sebagai tukang urut, Badrul sanggup berulang alik seminggu sekali bersama keluarga dari Besut ke Kuala Terengganu untuk mencari rezeki di pasar malam KT Walk setiap Jumaat dan Sabtu.

"Kami akan menaiki bas pada setiap hari Khamis dan bermalam di bilik sewa milik SBM untuk beberapa malam.


PENGLIHATAN Badrul Hisam mulai kabur secara berperingkat selepas terjatuh ketika berusia enam tahun. - Foto Aswadi Alias

"Selalunya saya bersama enam lagi rakan akan berada di pasar malam itu untuk memberikan perkhidmatan mengurut kepada pengunjung yang bertandang ke situ," katanya.

Katanya, pelbagai pengalaman pahit manis pernah dilalui sepanjang menjadi tukang urut, termasuk pelanggan yang mengambil kesempatan membayar dengan kadar lebih rendah.

"Biasanya, dalam sebulan saya boleh mendapat upah dalam lingkungan RM600.

"Saya juga pernah membuka pusat rawatan refleksologi di bandar Jertih tetapi kurang mendapat sambutan," katanya.

Badrul berkata, minat mencuba benda baharu membuatkannya turut jatuh cinta terhadap sukan boling padang.

Pada peringkat awal, pembabitannya hanya sekadar suka-suka tetapi akhirnya menjadi lebih serius apabila kerap kali dipilih mewakili pertubuhan ke kejohanan Paralimpiad peringkat kebangsaan.

Pada tahun 2010, memperoleh tempat keempat dalam kejohanan di Melaka, tempat ketiga pada tahun 2012 di Pahang dan keempat di Perlis (2014).


DALAM sebulan Badrul boleh mendapat upah dalam lingkungan RM600. - Foto Aswadi Alias

BADRUL Hisam kini bukan sahaja mahir dalam urutan urut refleksologi, malah terbabit secara aktif dalam kegiatan sukan, kumpulan muzik serta akiviti keagamaan. - Foto Aswadi Alias

Beliau menaruh harapan tinggi untuk meraih tempat pertama atau sekurang-kurangnya kedua apabila menyertai kejohanan Paralimpiad yang bakal diadakan di Sarawak pada Ogos depan.

"Saya bersyukur kerana anak kedua saya turut mengikuti jejak langkah terbabit secara aktif dalam sukan terutamanya bola sepak, manakala anak sulung perempuan pula lebih berminat dengan aktiviti menghafaz al-Quran," katanya.

Dalam keadaan fizikalnya yang serba kekurangan, Badrul membuktikan OKU sepertinya mampu melangkah seperti orang biasa dengan menceburi bidang seni dengan menjadi pemain drum untuk kumpulan muzik yang baharu ditubuhkan SBM.

"Sebelum ini, kami mendapat latihan secara formal melalui kursus muzik yang diadakan termasuk mempelajari cara mengendalikan peralatan muzik seperti gitar dan drum," katanya.

Badrul berharap lebih ramai golongan OKU menyertai pertubuhan seperti ini kerana banyak manfaat yang diperoleh, bukan sahaja kemahiran tetapi juga aspek kebajikan.


BADRUL bersama rakannya memberi perkhidmatan mengurut kepada pengunjung pasar malam KT Walk. - Foto Aswadi Alias

Profil: Badrul Hisam Baharuddin.

Umur: 43 tahun.

Anak: Dua orang.

Asal: Kampung Cerang Meliling, Jertih, Besut.

Jawatan: Ahli jawatankuasa sukan Pertubuhan Orang cacat Penglihatan Malaysia (SBM) cawangan Terengganu.

Anugerah:

Pencapaian:

1. Memenangi tempat ketiga dalam sukan boling padang pada kejohanan Paralimpiad di Pahang pada 2012.

2. Penghargaan Bapa peringkat Besut pada Jun 2015 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

3. Anugerah Usahawan Berjaya OKU pada 2 April 2016 oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi).

Berita Harian X