Selasa, 17 Mei 2016 | 11:04am

Catuan air di Kerian ditamatkan

PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam lnfrasktruktur, Tenaga dan Air negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin. - Foto LMANIMARAN

BAGAN SERAI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak sudah menamatkan catuan air untuk pengairan kepada semua petani di daerah Kerian yang sebelum ini terpaksa menangguhkan penanaman padi berikutan fenomena El Nino.

Berkaitan itu, aktiviti penanaman padi sudah boleh dilaksanakan seperti biasa selepas tertangguh hampir sebulan yang mengakibatkan petani berdepan kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, langkah menghentikan catuan air untuk pengairan itu dibuat berikutan paras air di Tasik Bukit Merah yang menjadi punca utama pengairan padi turun ke paras kritikal dan terpaksa dicatu sejak 25 April lalu.

"Ketika ini paras air sudah pun mencecah paras 25.6 kaki (7.80 meter) iaitu masih dalam paras berjaga-jaga namun ia sudah boleh disalirkan untuk tujuan pengairan padi.

"Sebelum ini pengairan ke sawah padi di sekitar daerah Kerian terpaksa dihentikan sementara berikutan fenomena El Nino yang mengakibatkan aktiviti penanaman terpaksa dihentikan selama hampir sebulan.

"Apa yang penting isu itu dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Untuk Pejalan Kaki anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mudzaffar Shah, Semanggol, dekat sini, hari ini.

Katanya, ketika ini paras air di Tasik Bukit Merah naik antara 15 sentimeter (cm) hingga 17 cm setiap hari bergantung kepada cuaca dan ia banyak membantu memulihkan semula bekalan air untuk pengairan di kawasan Kerian.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan pelan jangka masa panjang dan pendek bagi mengatasi masalah itu termasuk melaksanakan projek menyalurkan air dari Sungai Perak ke Sungai Kerian membabitkan kos sebanyak RM300 juta yang sedang dipohon dari kerajaan Pusat.

Selain itu, katanya, Lembaga Air Perak (LAP) sedang merancang melaksanakan Sistem Penapisan Tebing Sungai (RBF) yang menelan kos antara RM5 juta hingga RM6 juta seunit bagi menghasilkan air berkualiti untuk kegunaan domestik bagi memastikan bekalan air bersih berterusan dapat disediakan kepada rakyat.

Berita Harian X