Rabu, 18 Mei 2016 | 12:12am

Pesta buku bukan pentas hedonisme


ANTARA pengunjung pada PBAKL 2016 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

ANTARA pandangan golongan tidak bersetuju penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) baru-baru ini ialah lokasi tidak sesuai, akses sukar dan harga makanan mahal tetapi tidak berkualiti.

Oleh itu, mereka menyimpulkan faktor itu menyumbang kepada penurunan jumlah pengunjung yang seterusnya menyebabkan jumlah jualan terjejas.

Sementara itu, pihak lebih positif menyatakan perubahan lokasi tidak begitu menjejaskan kutipan jualan dan keadaan dewan pameran lebih besar memberikan keselesaan kepada pengunjung untuk memilih buku.

Justeru, mereka mencadangkan beberapa kelemahan seperti masalah akses perlu diperbaiki agar pesta buku tahun hadapan akan dikunjungi ramai pengunjung.

Pada masa sama, penganjur mendakwa jumlah kunjungan pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.

Paling menarik dalam hujah kedua-dua golongan itu ialah betapa soal jumlah kunjungan dan kutipan menjadi ukuran utama. Gagal atau berjayanya pesta buku dikecilkan ke dalam justifikasi sempit.

Hal ini menimbulkan persoalan menarik, iaitu apakah pesta buku benar-benar menjadi 'pesta' sehinggakan penilaian akhir hanya dilihat dalam ukuran begitu materialistik dan hedonis?

Pada 1972, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menyampaikan syarahan perdana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kemudian diterbitkan sebagai monograf, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

Biarpun sudah puluhan tahun ia berlangsung, gagasan dan penegasan tentang peranan Islam dalam konteks pembentukan rupa serta jiwa wilayah kepulauan Melayu-Indonesia masih utuh sehingga kini.


PENGUNJUNG melihat buku yang dijual sempena PBAKL 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Antara huraian penting oleh al-Attas dalam syarahan itu ialah keperibadian wilayah kepulauan Melayu-Indonesia sebelum kehadiran Islam yang ketika itu dibentuk oleh Buddha dan Hindu. Namun, kedua-dua agama itu tidak ditafsirkan secara ilmiah.

Sebaliknya, pendeta dan pujangga mentafsirkannya dengan menggunakan kaedah mementingkan kesenian dan estetika seperti pentafsirannya melalui medium puisi.

Pada masa sama, tiada usaha menghuraikan ajaran terkandung dalam puisi itu secara akliah seperti mensyarahkannya ke dalam bentuk prosa yang lebih berstruktur dan sistematik.

Kecenderungan golongan elit di istana yang begitu menyukai seni turut menyumbangkan iklim yang tidak begitu sihat kepada perkembangan suasana yang lebih saintifik.

Golongan atasan ini bukan saja menaungi aktiviti kesenian untuk memenuhi kecintaan terhadap kenikmatan dalam karya seni, malah pada suatu tahap mempergunakan ajaran Hindu untuk memperkukuh kedudukan di mata rakyat.

Ini berbeza dengan pandangan hidup yang dibawa Islam berteraskan nilai akliah dan ilmu. Oleh itu, kemasukannya ke wilayah Melayu-Indonesia diikuti dengan penterjemahan karangan penting berkait rapat dengan faham ilmu dan epistemologi.

Misalnya, kitab awal diterjemahkan ke bahasa Melayu ialah Aqaid al-Nasafi. Dalam kitab itu, pengarangnya memulakan perbincangan dengan menghuraikan sumber ilmu dari sudut Islam.

Ini membuktikan dari peringkat awal, ilmu ditekankan sebagai keutamaan dalam kebudayaan yang ingin dikembangkan oleh Islam.

Penegasan seperti ini menimbulkan suatu kebudayaan yang benar-benar mementingkan fungsi ilmu dalam segenap aspek kehidupan. Malah dalam konteks dunia kesusasteraan yang sebelum ini menjadi ruang ekspresi seni semata-mata, kini bertukar menjadi ruang yang 'indah tetapi ilmiah.'

Ini boleh dilihat misalnya dalam syair Hamzah Fansuri yang jika diteliti, jelas kelihatan beliau mengarang untuk tujuan keilmuan dan pendidikan. Malah, syairnya menjadi teks yang disyarahkan secara ilmiah.


PENOLONG Pegawai Pemasaran Dewan Bahasa dan Pustaka, Nur Shamiera Zahid menunjukkan buku yang dilancarkan DBP-Oxford Fajar pada PBAKL 2016. - Foto Surianie Mohd Hanif

Berdasarkan gambaran ringkas itu, secara tidak langsung kita dapat merumuskan Islam yang hadir ke wilayah Kepulauan Melayu-Indonesia begitu menekankan budaya ilmu.

Oleh itu, al-Attas menegaskan kepentingan Islam dalam pembentukan pandangan hidup dan kebudayaan masyarakat hanya akan kelihatan apabila kajian dibuat kepada karangan yang ditulis oleh ulama dan ilmuwan yang jumlahnya sangat banyak.

Dalam hal ini, beliau mengkritik kaedah golongan orientalis yang menilai sumbangan Islam berdasarkan artifak budaya dan seni seperti tinggalan istana dan candi kerana sumbangannya di kepulauan Melayu-Indonesia sebenarnya berbentuk akliah dan rohaniah seperti yang terpancar dalam karangan ulama dan ilmuwan.

Justeru, apakah relevan perbincangan penegasan al-Attas dalam konteks tulisan ini? PBAKL sepatutnya dilihat dalam kesinambungan sejarah ini.

Pedagang buku dan penganjur tidak boleh melihat diri mereka dalam skala industri buku moden yang berminat kepada justifikasi yang bersifat kebendaan semata-mata.

Perlu disedari, 'budaya perbukuan' sejati seperti diperlihatkan dalam sejarah wilayah Kepulauan Melayu-Indonesia meletakkan budaya ilmu tinggi dan berfungsi menerbitkan identiti baharu sehingga ke hari ini.

Justeru, pesta buku perlu dilihat sebagai pasar yang bertujuan meningkatkan penghayatan budaya ilmu.

Pempamer sepatutnya meletakkan diri sebagai kafilah budaya yang berfungsi sangat mulia. Mereka tidak saja mensasarkan keuntungan hasil berdagang, sebaliknya bertanggungjawab memikul beban peradaban seperti yang dilaksanakan dengan jayanya dalam sejarah.

Pengunjung juga tidak sewajarnya hadir ke pesta buku sekadar mencari bahan bacaan menghiburkan, sebaliknya mencari bahan bacaan bertujuan mendidik menjadi insan berbudi pekerti dan berilmu tinggi.

Penulis kumpulan puisi Dondang Pembukaan dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

19 dibaca
Berita Harian X