Rabu, 18 Mei 2016 | 11:55am

SIC jamin masa depan Zulfahmi


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (kanan) bersama Zulfahmi Khairuddin. - Foto ihsan www.biketrader.com.my

KUALA LUMPUR: Nasib Zulfahmi Khairuddin dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (WSBK) terjamin sekalipun kontrak hak penganjuran perlumbaan motosikal kedua terbesar di negara ini tidak dilanjutkan lagi tahun depan.

Jaminan itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali selepas Pusingan 6 WSBK musim 2016 menutup tirainya Ahad lalu - perlumbaan terakhir selepas litar itu diberi hak penganjuran sejak tahun 2014.

"Kami sedar yang dia masih boleh berlumba, masih mempunyai skil dan menunjukkan keinginan penuh mahu beraksi selain ingin terus beraksi dalam kelas Superport tahun depan," kata Razlan.

"Jika kita ingin teruskan atau tidak (pembabitan Zulfahmi), sebenarnya asas kita adalah ingin dia terus menyertai perlumbaan kerana dia sudah melakukan sesuatu yang positif dan kita ingin terus bersamanya.

"Berdasarkan apa yang Zulfahmi sudah lakukan dan keyakinan mendalam kami betapa dia mampu beraksi lebih baik lagi di pusingan seterusnya nanti, dia berhak mendapat sokongan penuh daripada kami.

"Kami sudah banyak melabur dengannya... enam tahun bersama dia dan kami perlu meneruskan sokongan ini sehinggalah tiba satu masa nanti di mana difikirkan sebagai penghujungnya (karier Zulfahmi)."

Pelumba pasukan Orelac Racing VerdNatura itu meraih penamat kedua di perlumbaan Pusingan 6 kelas Supersport WSBK di trek Sepang Ahad lalu sekali gus mengulangi pencapaian terbaiknya di podium yang dikecapinya pada tahun 2012 - ketika itu menyertai kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Pada tahun kegemilangannya itu juga, Zulfahmi turut meraih satu lagi penamat di podium Grand Prix Valencia, meraih tangga ketiga bersama pasukan AirAsia-SIC-Ajo.

Berita Harian X