Rabu, 18 Mei 2016 | 6:00pm

Kilang guna perisian cetak rompak diserbu

KULIM: Sebuah kilang kejuruteraan mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit melalui penggunaan perisian komputer cetak rompak untuk menghasilkan tempahan produk besi yang kemudian dieksport ke luar negara.

Tindakan itu terbongkar selepas kilang yang beroperasi sejak 20 tahun lalu di kawasan perindustrian Kulim di Kelang Lama, di sini, diserbu sepasukan tujuh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri pagi kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah, berkata dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi yang turut disertai 12 ahli Perikatan Perniagaan Perisian (BSA) itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 100 komputer dalam kilang terbabit.

"Hasil pemeriksaan, enam komputer dan sebuah komputer riba disyaki menggunakan perisian cetak rompak dirampas untuk tindakan lanjut.

"Komputer terbabit didapati menggunakan beberapa perisian cetak rompak bagi urusan pejabat dan aplikasi grafik, malah ada di antara perisian itu bernilai RM120,000 untuk satu komputer.

"Kita percaya pihak terbabit membeli perisian grafik asli, sebelum melakukan cetak rompak dan menggunakannya untuk beberapa komputer lain dalam kilang itu," katanya pada sidang media di pejabat KPDNKK Kulim, di sini, hari ini.

Shahruddin berkata, selain rampasan komputer dan perisian membabitkan nilai keseluruhan RM298,000, pihaknya turut mengambil keterangan pengurus kilang berusia 40-an untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(d) Akta Hakcipta 1987.

"Sejak awal tahun ini, KPDNKK sudah menjalankan enam serbuan di premis disyaki menggunakan perisian cetak rompak membabitkan perisian grafik dan pengurusan pejabat dipercayai bagi menjimatkan kos," katanya.

Berita Harian X