Khamis, 19 Mei 2016 | 12:52pm

Mercedes Benz perkenal C-Class Coupe baharu


MERCEDES-BENZ C-Class Coupe

SEPANG: Mercedes-Benz Malaysia hari ini menampilkan C-Class Coupe, model baharu di bawah Koleksi Kereta Impian Mercedes-Benz.

C-Class Coupe didatangkan dalam tiga varian iaitu C 200 Coupe, C 250 Coupe dan C 300 Coupe.

Harga atas jalan model C200 Coupe tanpa insurans ialah RM308,000 manakala C 250 Coupe dan C 300 Coupe masing-masing berharga RM333,888 serta RM388,888.

Naib Presiden Jualan & Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, berkata C-Class Coupe disasarkan kepada segmen pembeli kereta premium kali pertama tanpa kompromi ke atas prestasi serta jenama kenderaan mewah Jerman itu.

"Sebagai varian paling sporty dalam C-Class, Coupe menampilkan reka bentuk berbeza dan bertenaga di samping bahagian belakang yang dibahagikan dengan sempurna.

"Justeru, varian ini dengan harga yang ditawarkan sesuai kepada pemilik kereta premium buat kali pertama," katanya pada pelancaran Mercedes C-Class Coupe dan pandu uji bersama media di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi.

Sesi pandu uji selama dua jam turut disertai lagenda Formula One yang juga duta antarabangsa Mercedes-Benz, David Coulthard.

Varian itu dibawa terus ke pasaran tempatan dari kilang Mercedes di Jerman.

Ia diperkenalkan buat kali pertama semasa Pameran Auto Antarabangsa di Frankfurt, tahun lalu.

Antara penampilan menarik varian berkenaan adalah bahagian hadapannya yang sporty dilengkapi gril radiator mutiara serta bonet panjang.

Berita Harian X