Jumaat, 20 Mei 2016 | 7:13pm
KAUNSELOR Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Perancis di Malaysia, Jean Pierre Galland (empat dari kiri) bersama Pengerusi ITBM, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh (tiga dari kanan); Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron (dua dari kiro); Penterjemah bahasa Melayu karya Hanri Fauconnier, Prof Emeritus Muhammad Salleh (tiga dari kiri) dan Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan (dua dari kanan) bersama pembentang pada Seminar Tentang Henri Fauconnier di Hotel De Palma, Kuala Selangor.

Malaisie, sentuhan Pengarang Perancis hasilkan pantun Melayu

KUALA SELANGOR: Malaisie karya pengarang Perancis, Henri Fauconnier, menunjukkan kebijaksanaan pengarang yang meletakkan jiwanya dalam kesusasteraan Melayu terutama dalam aspek pantun.

Diterbitkan pada tahun 1930, Malaisie yang memenangi Hadiah Kesusasteraan Perancis, Hadiah Goncourt pada tahun sama, mengagumkan pengkaji sastera apabila mengandungi maksud baris yang mempunyai kiasan tinggi.

Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata Fauconnier yang turut menterjemah sendiri pantun Melayu beliau ke bahasa Perancis menggambarkannya sebagai jiwa budaya Melayu.

Beliau berkata, hal itu diakui sendiri Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Muhammad Salleh yang menterjemahkan naskhah Fouconnier itu ke bahasa Melayu dengan judul Nurani Tanah Melayu yang menyifatkan pantun pengarang Perancis itu sebagai luar biasa.

"Walaupun pantun dalam bahasa Perancis tidak mengikut rima seperti pantun dalam bahasa Melayu, ia mempunyai kiasan yang tinggi.

"ITBM melihat proses penterjemahan ini sebagai pemindahan ilmu yang masih mempunyai nilai sepunya daripada aspek proses penghasilan pantun dan menumpukan usaha mempertahankan nilai budaya kedua-dua negara, iaitu Perancis dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Tentang Henri Fauconnier dan Malaysia yang dirasmikan oleh Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Perancis di Malaysia, Jean Pierre Galland di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi ITBM, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh; SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Muhammad.

Seminar bertemakan Henri Fauconnier, Zamannya, Malaisie dan Jati Diri anjuran ITBM dan Kedutaan Perancis dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) itu menelusuri sejarah awal kedatangan pengarang Perancis itu ke negara ini.

Ia juga menyorot idealisme beliau dalam memahami dan menyelami ritual, adat serta budaya kaum di Tanah Melayu.Malaisie merakam keadaan Tanah Melayu sekitar awal 1900-an, iaitu ketika beliau berkhidmat di negara ini sebagai pengurus ladang sekitar tahun 1905 hingga 1914.

Sementara itu, Galland mengucapkan terima kasih di atas usaha Muhammad menterjemahkan naskahah itu yang sehingga kini turut sudah diterjemah ke beberapa bahasa lain.

Beliau berkata, usaha dilakukan Muhmmad bersama ITBM sebagai penerbit naskhah terjemahan bahasa Melayu itu memperkaya kekayaan nilai kesusasteraan daripada kedua-dua negara, Perancis dan Malaysia.

Berita Harian X