Jumaat, 20 Mei 2016 | 9:57pm

Kuartet wanita sambar emas di Taiwan

KUALA LUMPUR: Kuartet wanita 4x100 meter negara memahat nama di persada antarabangsa apabila menyambar pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan sebentar tadi selepas mengetepikan pencabar dari Taiwan dan Hong Kong.

Kuartet yang dibarisi Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Komalam Shelly mencatat 45.53 saat untuk menambah koleksi kejuaraan kedua tahun ini selepas turut muncul pemenang Terbuka Singapura bulan lalu.

Pingat perak menjadi milik Taiwan dengan catatan masa 46.69 saat manakala kuartet Hong Kong sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas merakam kepantasan 46.78 saat.

Bagaimanapun catatan itu nyata masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan dipegang mereka sendiri iaitu 45.32 saat yang dilakukan ketika di Terbuka Singapura sebelum ini.

Berita Harian X