Sabtu, 21 Mei 2016 | 12:15am

Kumpulan NSTP ungguli Malam Anugerah KEMUDI


KUMPULAN The New Straits Times Press (NSTP) Kelantan mengungguli tujuh anugerah di Malam Anugerah Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI). Turut memenangi anugerah, jurugambar sambilan, Nik Abdullah Nik Omar (tiga kanan) menerusi tempat kedua Foto Terbaik di Hotel Perdana, Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mengungguli Malam Anugerah Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) malam tadi apabila menang beberapa kategori berita dan gambar.

Wartawan New Straits Times (NST), Kalbana Perimbanayagam menang Anugerah Rencana Terbaik yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala dan sijil menerusi rencana bertajuk 'Starwars In Wayang Kulit'.

Seorang lagi wartawan NST iaitu Syarifah Mahsinah Abdullah, mendapat tempat kedua untuk anugerah Rencana Alam Sekitar Terbaik mengenai pembalakan di Gua Musang.

Wartawan BH, Nor Fazlina Abdul Rahim pula memenangi tempat ketiga untuk kategori yang sama sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM400, sijil dan trofi.

Di samping itu, Ketua Biro dan wartawan Harian Metro, Maiamalina Mohamed Amin dan Siti Nor Hidayatidayu Razali memenangi tempat ketiga dan kedua dalam kategori Berita Am.

Seorang lagi wartawan Harian Metro, Mohamad Razis Ismail berada di tempat ketiga dalam Anugerah Sukan Terbaik.

Selain itu wartawan sambilan Berita Harian, Siti Rohana Idris memenangi tempat ketiga menerusi Anugerah Rencana Pelancongan Terbaik manakala jurugambar sambilan, Nik Abdullah Nik Omar merangkul tempat kedua bagi anugerah Foto Terbaik.

Hadiah disampaikan oleh agensi masing-masing yang berkaitan dengan kategori termasuk Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang diwakili Mohd Fakri Mohd Nor yang menyampaikan Anugerah Rencana Alam Sekitar.

Majlis anugerah yang diadakan di Hotel Perdana di sini, adalah kali kedua diadakan bermula tahun lalu.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan turut dihadiri tetamu kehormat lain antaranya Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azran Deraman.

16 dibaca
Berita Harian X