Sabtu, 21 Mei 2016 | 8:09am

Rodgers dilantik kemudi Celtic


GAMBAR fail bertarikh 22 Mac, 2015, Pengurus Liverpool Brendan Rodgers pada pertembungan Liverpool menentang Manchester di Liga Perdana Inggeris. - Foto AP

SCOTLAND: Celtic melantik bekas pengendali Liverpool, Brendan Rodgers sebagai pengurus baharu kelab itu dengan tawaran kontrak selama 12 bulan, kata juara Liga Perdana Scotland, semalam.

Rodgers dari Ireland yang pernah menguruskan Swansea City, Reading FC dan Watford dipecat oleh Liverpool pada Oktober lalu, dilantik bagi menggantikan Ronny Deila di kelab terbabit.

"Saya benar-benar gembira dinamakan sebagai pengurus Celtic," kata Rodgers, 43 menerusi kenyataan di lawan web Celtic (www.celticfc.net).

"Ini adalah satu penghormatan buat saya. Saya sudah menjadi pengikut Celtic sepanjang hidup saya dan apabila diberikan peluang hebat ini dan menjadi sebahagian daripada kelab bola sepak terkemuka ini, ia bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan."

Salah satu tugas mencabar menanti Rodgers adalah mengemudi kelab itu ke dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bermula dengan pusingan kelayakan kedua.

Dia juga akan mengibarkan kembali permusuhan panjang bersama jiran mereka di Glasgow, Rangers FC yang kembali beraksi di liga utama musim depan selepas empat tahun berada di divisyen bawah berikutan pembubaran kelab itu pada 2012.

"Kami mahu membawa salah satu daripada nama besar dan terbaik ke dalam kelab untuk dipadankan bersama aspirasi kita dan juga penyokong. Kami percaya dengan pelantikan Brendan, kami mampu lakukannya," kata Ketua Eksekutif Celtic, Peter Lawwell.

"Kami sudah melantik pengurus khas dan kami pasti dia mampu membawakan yang istimewa buat Celtic."

Rodgers dipecat Liverpool selepas mengharungi permulaan kurang baik musim ini dengan rekod pembelian pemainnya menariknya menyaksikan kelab itu bergelut untuk bersaing di Liga Perdana Inggeris. - Reuters

Berita Harian X