Selasa, 4 November 2014 | 1:28pm

Holstein Milk Company rancang eksport baka lembu tenusu AFS

The Holstein Milk Company Sdn Bhd, merancang menyenaraikan sahamnya di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus menjadi pengeluar produk tenusu tempatan pertama yang disenaraikan di pasaran saham.

Pengarah Operasi, Azmi Zainal, berkata penyenaraian saham syarikat yang kini terbabit dengan aktiviti penternakan lembu tenusu, pemprosesan, pengeluaran dan pemasaran produk tenusu bakal dipacu oleh langkah peluasan portfolio perniagaannya dalam usaha mengembangkan keuntungan syarikat.

Syarikat yang ketika ini mempunyai 1,300 lembu baka Australian Freshein Sahiwal (AFS) dan Jersey Freisian di ladangnya di Kota Tinggi, Johor, sudah menyenaraikan beberapa rancangan pengembangan perniagaan termasuk mengeksport baka lembu tenusu.

Penerokaan pasaran eksport adalah langkah penting syarikat dalam mengembangkan pengaruhnya sekali gus membantu negara iklim tropika lain menternak lembu susu dan mengurangkan kebergantungan kepada produk tenusu import.

Baka lembu kacukan Australia-Pakistan atau AFS yang dihasilkan The Holstein Milk Company dengan kerjasama AFS Dairy Company yang juga anak syarikat The Holstein Milk Co, firma berpangkalan di Australia, mampu hidup dalam cuaca panas dan iklim tropika.

"Ia terbukti apabila baka AFS mampu hidup di Malaysia, jadi ia boleh dieksport terutama negara beriklim tropika seterusnya dapat mengembangkan sektor pertanian ke negara berkenaan.

"Kami menyasar untuk meraih pendapatan mencecah RM200 juta sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia yang akan disokong oleh pelan pengembangan perniagaan syarikat. Ketika ini jumlah pendapatan tahunan syarikat adalah RM50 juta," katanya kepada BH.

Bagi merealisasikan rancangan itu, Azmi berkata, syarikat yang memeterai perjanjian dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menjadi pengurus ladang ternakan lembu seluas 240 hektar di Muadzam Shah, Pahang.

Khazanah Nasional Bhd menguasai 30 peratus kepentingan dalam The Holstein Milk Company.

Berita Harian X