Ahad, 22 Mei 2016 | 12:06am

Menguji adrenalin dalam kotak kaca Menara KL


SKY box @ Sky deck mampu memberi pengalaman unik kepada pelancong menikmati panorama Kuala Lumpur seolah-olah terawang-awang di udara. - Foto Zunnur Al Shafiq

INGIN merasai pengalaman atau menikmati pemandangan indah hutan batu Kuala Lumpur daripada perspektif berbeza?

Bayangkan kota kosmopolitan ini berada betul-betul di bawah tapak kaki anda, tidak perlu menaiki helikopter mengelilingi bandaraya ini untuk merasai pengalaman itu, sebaliknya hanya melangkah beberapa tapak saja menjulur keluar dari Menara Kuala Lumpur (KL).

Bunyinya agak pelik, tapi itulah realitinya apabila produk pelancongan baharu yang diperkenalkan Menara KL iaitu Sky box @ Sky deck mampu memberi pengalaman unik kepada pelancong menikmati panorama Kuala Lumpur seolah-olah terawang-awang di udara!

Sekiranya anda lebih berani, berbaring sana di dalam kawasan Sky box itu dan bayangkan terbang seperti Superman sedang menjelajah KL dari udara!


GELAGAT pelancong ketika berada di Sky box @ Sky deck. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kepada pengunjung yang baru kali pertama cuba meninjau KL dari Sky box @ Sky deck, ia bagaikan satu pengalaman yang amat mendebarkan, pada ketinggian 300 meter dan di sekeliling anda hanyalah kotak kaca. Lebih menarik, ketinggian Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang dilihat berada betul-betul di hadapan anda, seolah-olah hanya sejengkal saja daripada anda.

Pengalaman berada di kawasan tinjau Sky box ternyata memberikan pemandangan yang tidak pernah anda lihat atau rasai sebelum ini.

Panorama KL sangat menakjubkan. Anda boleh merasai angin bertiup kencang dan ketika itu perasaan gayat datang.

Penulis juga tidak berkecuali apabila kali pertama berada di Sky box baru-baru ini. Sebaik menanggalkan kasut, masih teragak-agak sebelum memberanikan diri untuk mengunjur keluar ke tengah Sky box.


PELANCONG menikmati keindahan pemandangan sekitar Kuala Lumpur ketika berada di Sky box @ Sky deck. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, berkata idea untuk menghasilkan Sky box tercetus ketika beliau memikirkan suatu produk inovatif iaitu menggunakan ketinggian Menara KL sebagai nilai tambah untuk menarik lebih ramai pelancong ke pelantar terbuka yang sememangnya sudah terbukti menyajikan pemandangan yang mengagumkan.

Kini, hanya dengan bayaran ke Sky deck, pengunjung berpeluang pula ke Sky box tanpa caj tambahan.

Justeru, secara tidak langsung, Sky box memberi nilai tambah kepada pengunjung, lebih-lebih lagi kepada pelancong domestik yang dikenakan bayaran lebih murah berbanding pelancong luar negara.


PELANCONG menikmati keindahan pemandangan sekitar Kuala Lumpur ketika berada di Sky box @ Sky deck. - Foto Zunnur Al Shafiq

Info Menara KL

Info Sky box @ Sky deck

  • Mengunjur atau menjulur keluar dari tebing Sky deck pada ketinggian 300 meter dan berada pada aras sama di tingkat Sky deck atau pelantar terbuka.
  • Bayaran sekali masuk kepada pemegang MyKad ialah RM75 manakala pelancong asing (RM105). Mereka yang membeli tiket untuk ke Sky deck berpeluang untuk ke Sky box apabila tiada bayaran tambahan dikenakan. Namun, kanak-kanak berumur bawah 13 tahun tidak dibenarkan ke Sky deck.
  • Berat maksimum yang mampu ditampung ialah 600 kilogram (kg) apabila hanya enam pengunjung saja dibenarkan berada dalam kawasan Sky box pada satu-satu masa.
  • Tidak dibenarkan memakai kasut apabila memasuki kawasan Sky box.
  • Sekiranya anda fobia kepada ketinggian atau mudah berasa gayat apabila berada di tempat tinggi, jangan cuba memasuki Sky box.
  • Tidak dibenarkan makan atau minum ketika berada di kawasan Sky box, namun anda dibenarkan untuk mengambil seberapa banyak gambar atau berselfie, tetapi haruslah mengutamakan soal keselamatan seperti tidak berlari atau melompat.


SKY box @ Sky deck di Menara Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Berita Harian X