Ahad, 22 Mei 2016 | 4:58pm

217 pengantin TTB dirai


MENTERI Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) bersama 70 pasangan pengantin pada Majlis Pelancaran dan Resepsi Keluarga Generasi TTB Perkahwinan Perdana 2016 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuab Ambak

KUALA TERENGGANU: Seramai 217 pasangan pengantin Transformasi Terengganu Baru (TTB) di seluruh negeri diraikan serentak di tujuh daerah pada Majlis Resepsi Keluarga Generasi TTB Perkahwinan Perdana 2016 di sini, hari ini.

Ia membabitkan 33 pasangan dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus (37), Kemaman (27), Dungun (25), Marang (29), Hulu Terengganu (21), Setiu (22) dan Besut (23).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata perbelanjaan perkahwinan termasuk pakaian, jamuan akad nikah dan resepsi pengantin TTB dibiayai kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, setiap pasangan mendapat Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1,000, kemudahan pinjaman modal berniaga dan keutamaan mendapat rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun perkahwinan.

"Semua pengantin TTB dipilih dalam kalangan anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun daripada golongan berpendapatan rendah iaitu RM3,000 ke bawah bagi meringankan beban dan memudahkan mereka berkahwin.

"Mereka diakad nikah pada 14 Mei lalu secara serentak di lapan daerah. Harapan saya, program Perkahwinan Perdana ini mencapai matlamat untuk membantu keluarga dan ibu bapa kurang berkemampuan mengadakan majlis kahwin serta meningkatkan bilangan rakyat Terengganu," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda; Yang Dipertua Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Berita Harian X