Isnin, 23 Mei 2016 | 12:00am

Lignoselulosa sumber utama biopolimer

LIGNOSELULOSA mempunyai kadar penyerapan air yang amat tinggi.

BANGI: Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghasilkan pelbagai produk, termasuk makanan dan pembungkus, menggunakan biojisim lignoselulosa sebagai bahan campuran.

Seorang penyelidik terbabit, Prof Dr Sarani Zakaria, berkata lignoselulosa terhasil secara semula jadi, khususnya daripada bahan buangan pertanian dan perhutanan.

Dalam konteks ini, beliau berkata, sumber terbesar ialah kayu dan hasil buangannya yang mencakupi sebanyak 64 peratus, diikuti sisa perbandaran (24 peratus) serta pertanian (lima peratus).

Katanya, lignoselulosa boleh dibahagikan kepada enam kumpulan utama, iaitu sisa tanaman, kayu keras, kayu lembut, sisa selulosa, tumbuhan herba dan sisa pepejal perbandaran.

PROF Dr Sarani ketika menyamppaikan syarahan umum di FST.

Boleh diperbaharui

Beliau berkata, sisa berkenaan merangkumi batang, ranting dan kulit pokok; sabut dan tandan buah; jerami padi; hampas tebu; pelepah dan daun.

"Biojisim kini menjadi tarikan sebagai sumber bahan mentah utama kerana boleh diperbaharui," katanya ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Tujuh Keajaiban Bahan Lignoselulosa' di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Dekan FST, Prof Dr Sahrim Ahmad.

Prof Dr Sarani berkata, antara produk dihasilkan kumpulannya menggunakan biojisim lignoselulosa ialah pulpa dan kertas, kertas bermagnet, komposit hijau, bahan penjerap, biopolimer, nanoselulosa dan nanokomposit, poliuretana, resin serta perekat.

SEBAHAGIAN bahan kimia yang sudah dicampurkan dengan lignoselulosa untuk pelbagai kegunaan dan penghasilan produk.

Kurangkan kebergantungan

"Penggunaan sisa pertanian sebagai penjerap dan komposit menjadi penyelesaian terbaik untuk menangani sisa pepejal yang banyak. Karbon teraktif adalah bahan penjerap komersial yang kerap digunakan dalam rawatan air buangan industri.

"Sumbangan bahan nano seperti TiO2, magnetit, maghemit, graphene dan nano perak dalam pulpa serta membran selulosa pula dapat meningkatkan nilai tambah produk dihasilkan.

"Penggunaan bahan lignoselulosa sebagai sumber utama biopolimer yang lebih hijau, murah dan mudah terbiodegradasi dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber berasaskan petroleum yang tidak mesra alam," katanya.

Berita Harian X