Isnin, 23 Mei 2016 | 11:20am

18 plaza tol laksana ETC

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) hari ini mengumumkan pelaksanaan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di 18 plaza tol bagi enam lebuh raya bermula jam 12 tengah hari, 1 Jun ini.

Timbalan Yang Dipertua PSKLM, Sazally Saidi, berkata sehingga tempoh itu, semua 2,282 lorong tol termasuk 1,176 lorong Touch n Go, mod campuran (610) dan Smartag (495) membabitkan enam lebuh raya itu dinaik taraf dan boleh menerima bayaran tol secara elektronik.

Katanya, enam lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (GRAND SEPADU), Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (JSAHMS) dan Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK).   

Bagi BORR, tiga plaza tol iaitu Bagan Ajam, Perai dan Sungai Nyior manakala SILK pula mewakili Plaza Tol Sungai Ramal, Bukit Kajang, Sungai Long serta Sungai Balak. 

Turut terbabit ialah Plaza Tol Ayer Hitam, Saujana Putra, Teluk Panglima Garang dan Pulau Indah bagi SKVE selain Plaza Tol JK2PP bagi JSAHMS.  

Plaza tol di NNKSB membabitkan Bukit Raja, Kapar, Kapar Moc A, Kapar Moc B dan bagi BESRAYA pula ialah Plaza Tol Mines serta Loke Yew.

"Pengguna lebuh raya perlu menggunakan kad Touch `n Go atau SmartTAG untuk melakukan transaksi di plaza tol berkenaan kelak.

"Promosi jualan kad Touch n Go dan alat peranti Smartag juga dijual pada harga promosi bagi menggalakkan pengguna lebih raya untuk membuat persiapan awal menjelang pelaksanaan sepenuhnya pada 1 Jun ini," katanya dalam sidang media di Plaza Tol Loke Yew, di sini, hari ini.

Sazally berkata, langkah itu adalah satu inisiatif untuk menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang mudah dan selesa selain membantu pengguna jalan raya menikmati perjalanan lebih lancar di plaza tol yang terbabit.

Berita Harian X