Isnin, 23 Mei 2016 | 4:02pm

Pemaju perlu sedia rumah lebih baik kepada pekerja binaan

AHMAD Asri (kanan) dan Mohtar Musri pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin
AHMAD Asri (kanan) dan Mohtar Musri pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR : Pemaju projek pembangunan akan diwajibkan mematuhi undang-undang penyediaan kediaman minimum kepada pekerja masing-masing berikutan kajian semula Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Mohtar Musri, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kajian semula itu bagi memasukkan sektor pembinaan dalam akta berkenaan.

Katanya, pada masa ini, akta berkenaan hanya merangkumi keperluan perumahan minimum kepada pekerja ladang.

"Setakat ini sektor binaan tidak dimasukkan dalam akta terbabit menyebabkan ada majikan tidak peka terhadap masalah sosial, penyebaran wabak penyakit dan pencemaran akibat penempatan pekerja yang tidak teratur dan tidak diselia.

"Kita sedang melaksanakan mengkaji standard penempatan selamat bagi pekerja tapak binaan yang dijangka dilaksanakan sejajar penambahbaikan akta," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama antara Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan CIDB, yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Asri berkata kerjasama antara CIDB dan JKKP itu akan membabitkan empat fokus utama iaitu penguatkuasaan undang-undang, pembangunan tenaga kerja, pemerkasaan standard dan promosi.

Katanya, sasaran utama ialah sifar kemalangan namun jika tidak mampu, paling minimum ialah lima pekerja daripada setiap 100,000 pekerja binaan.

Ketika ini nisbah kemalangan masih tinggi iaitu 10.94 pekerja daripada setiap 100,000 pekerja binaan, berpunca kegagalan pematuhan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang ditetapkan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X