Selasa, 24 Mei 2016 | 1:02pm

Prince mati beberapa jam sebelum ditemui - Akhbar

WASHINGTON: Prince mungkin sudah mati sekurang-kurangnya enam jam sebelum mayatnya ditemui, dan diberikan cecair secara intravena sehari sebelum meninggal dunia, lapor The Minneapolis Star Tribune.

The Star Tribune Sabtu lalu memetik sumber sebagai berkata Prince semakin gelisah berikutan kecemasan akibat opioid berlebihan pada 15 April lalu, walaupun nampak tenang. Keputusan bedah siasat dan toksikologi masih belum dikeluarkan.

Pihak berkuasa berkata, bintang pop itu sendirian ketika ditemui mati, dan mereka tidak percaya ia membabitkan perbuatan bunuh diri atau khianat.


PRINCE bersendirian ketika ditemui mati.

Keadaan Prince yang gelisah memaksa seorang daripada kakitangannya menghubungi seseorang di New York yang baru saja bekerjasama dengan pemuzik itu, untuk mendapatkan nasihat pada 20 April lalu, menurut The Star Tribune.

Lewat hari itu, Prince diberikan rawatan intravena di sebuah hospital tempatan, menurut laporan itu.

Menurut akhbar itu, masih tidak jelas sama ada Prince diberikan rawatan intravena sebelum atau selepas seorang doktor merawat beliau membuat panggilan telefon dari rumah pada malam 20 April lalu. - Agensi

Berita Harian X