Selasa, 24 Mei 2016 | 6:30pm

Raja Muda minta MARA manfaatkan pembangunan Lembah Chuping

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah meminta Majlis Amanah Rakyat (MARA) memanfaatkan rancangan pembangunan Lembah Chuping dengan mewujudkan rangkaian usahawan logistik.

Baginda bertitah cadangan projek Pelabuhan Darat di Lembah Chuping, yang terletak di utara Perlis, bakal memberi kelebihan kepada usahawan yang berniaga di situ.

Ketika bertitah merasmikan Program Perlis [email protected] 2016 di Medan MARA di sini, hari ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap cadangan projek pembangunan terbesar di pinggir sempadan Malaysia-Thailand itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh usahawan termasuk belia.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa.

Baginda bertitah MARA memperuntukkan RM1.6 juta untuk pembangunan keusahawanan di Perlis termasuk RM500,000 bagi pengwujudan usahawan baharu (belia) di bawah Skim Putra.

Selain itu, sebanyak RM8.1 juta diperuntukkan untuk kegiatan pembiayaan.

Raja Muda turut bertitah rancangan MARA melaksanakan program Teknousahawan Animasi di Perlis, yang lengkap dengan inkubator, pada tahun ini, bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif di negeri itu.

Selain itu, baginda berharap sebuah Kolej Poly-Tech MARA dapat direalisasikan di Kangar dengan memberi tumpuan kepada 'Edu-Creative Content' sejajar dengan rancangan menjadikan Kangar sebagai bandar maya.

Seramai 14 usahawan MARA menyertai Perlis [email protected] yang berlangsung tiga hari bermula semalam. Antara yang menjadi tumpuan ialah gerai jualan harumanis, gerai laksa dan produk perkhidmatan pelancongan Perlis.

-- BERNAMA

Berita Harian X