Rabu, 25 Mei 2016 | 10:05am

Remaja maut kereta bertembung bas ekspres

BANDAR SERI JEMPOL: Seorang remaja maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 35 Jalan Bahau-Keratong, dekat sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira jam 11.50 malam itu, Muhammad Aizat Mohd Zambri, 19, dari Taman Desa Melor, Senawang di Seremban, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Mersing, Johor, dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta PERODUA Kancil dipandu mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat, manakala pemandu bas dan lapan penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu bas berusia 57 tahun tidak mempunyai rekod kesalahan trafik , tetapi ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, air kencing pemandu juga diambil untuk diuji, manakala kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Berita Harian X