X
Rabu, 25 Mei 2016 | 11:17am

Pekerja kedai aksesori didakwa miliki pistol, peluru

PEKERJA kedai aksesori kereta, Shalihoddin Azman (tengah) mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki pistol dan peluru dalam kenderaan pemain Johor DT, Safee Sali di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajudin
PEKERJA kedai aksesori kereta, Shalihoddin Azman (tengah) mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki pistol dan peluru dalam kenderaan pemain Johor DT, Safee Sali di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajudin

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kedai aksesori kereta mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki pistol dan peluru dalam kenderaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safee Sali di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Shalihoddin Azman, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz.

Pertuduhan pertama, Shalihoddin didakwa memiliki senjata api model Revolver jenis Smith & Wesson 4 bersama satu sarung pistol berwarna hitam tanpa kebenaran sah pada jam 12 tengah hari, 15 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam kali sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(1) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki 30 peluru hidup jenis .38LRN Special Ball tanpa sebab sah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam, Hazza Khalid.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Berita Harian X