Rabu, 25 Mei 2016 | 11:40am

Kim Swee panggil Mahali, gugur Matthew, Gopinathan

MAHALI Jasuli, Matthew Davies dan R Gopinathan.

KELANA JAYA: Pertahanan kental negara yang pernah membarisi skuad emas Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan SEA 2009 serta 2011, Mahali Jasuli kembali dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Keputusan itu dibuat ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee selepas menyaksikan bek kanan yang disenaraikannya sebelum ini, Matthew Davies dari Pahang mengalami kecederaan.

"Selepas berbincang dengan pihak perubatan dan doktor pasukan, saya memutuskan untuk memberi pelepasan kepada Matthew dan R Gopinathan (Selangor)," kata Kim Swee ketika ditemui di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

"Kedua-dua pemain ini mengalami kecederaan dan sukar untuk kembali pulih dalam tempoh terdekat. Tempat Matthew akan diambil alih oleh Mahali dan satu tempat lagi dikosongkan buat sementara waktu."

Kim Swee berkata, beliau hanya akan menamakan pemain gantian selepas perlawanan Piala AFC antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kaya FC dari Filipina di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

"Dalam masa terdekat saya akan fikirkan posisi-posisi tertentu, kemungkinan esok (malam ini) selepas perlawanan JDT, saya perlu melihat tahap kecergasan mereka," katanya.

Walaupun dalam senarai menunggu ada beberapa pemain antaranya Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Azinee Taib yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Gopinathan, Kim Swee terbuka untuk memanggil pemain lain mengikut keperluan posisi.

"Slot terakhir ini masih terbuka dan hanya akan diisi mengikut keperluan posisi yang saya fikirkan perlu. Tidak semestinya berada dalam senarai menunggu, contohnya Mahali tiada dalam senarai tetapi dipanggil," katanya.

Kim Swee turut mengharapkan tonggak pertahanan yang majoritinya dibarisi pemain JDT, bebas daripada kecederaan serius selepas pertemuan dengan kelab dari Filipina malam ini.

"Bek tengah kita dibarisi Aidil (Zafuan Abd Radzak), Fadhli Shas, Shahrom Kalam dan Junior Eldstal. Tiga daripada mereka dari JDT dan saya harapkan tiada kecederaan dikutip ketika bertemu pasukan dari Filipina nanti," kata Kim Swee.

Skuad kebangsaan akan berdepan Myanmar untuk perlawanan antarabangsa A di Yangon, 28 Mei ini disusuli dua perlawanan Play-off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor-Leste di Larkin, pada 2 dan 6 Jun ini.

INFO

Mahali Jasuli

Tarikh lahir: 2 April 1989

Tempat lahir: Selayang, Selangor

Posisi: Pertahanan

Kelab: JDT

Berita Harian X