Khamis, 26 Mei 2016 | 7:03am

Penyalahgunaan dadah tak selesai

PENYALAHGUNAAN dadah di Malaysia bukan sahaja satu ancaman kepada negara, keselamatan dan pembangunan sosioekonomi tetapi ia kini menjadi masalah di masa depan apabila kanak-kanak berusia tujuh tahun ketagihan dadah. Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), puncanya kerana ibu bapa mereka sendiri menyalahgunakan dadah.

Sesetengah kanak-kanak mencuba dadah yang ditinggalkan di rumah oleh ibu bapa penagih, manakala kanak-kanak lain disebabkan dibiar tanpa perhatian.

Keluarga berperanan penting memerangi penyalahgunaan dadah kerana ia adalah pertahanan pertama dan utama terhadap banyak masalah sosial ketika ini. Kuasa dan potensi keluarga lebih besar dan lebih bermakna daripada kekuatan semua agensi penguatkuasaan yang disatukan untuk menangani penyalahgunaan serta pengedaran dadah.

Masih ramai gagal dikesan

Menurut AADK, jumlah penagih berdaftar dari 2010 hingga 2014 ialah 100,938 orang. Tetapi, harus diingat, bagi setiap penagih yang dikenal pasti, empat lagi tidak dapat dikesan. Jika kita ambil kira jumlah penagih yang dikenal pasti sejak 1988, angkanya 387,144 orang.

Jika kita ambil kira penagih yang tidak dapat dikesan, bilangan terkumpul sejak 1988 hampir 1.5 juta orang. Kerajaan membelanjakan beratus-ratus juta ringgit untuk banteras ancaman dadah sejak empat dekad lalu, namun bilangan penagih semakin meningkat dan usia mereka semakin rendah hingga capai usia sekolah rendah.

Penubuhan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) untuk beri khidmat masyarakat secara percuma dalam pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan pemulihan adalah langkah yang betul.

Usaha pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan kerana Kerajaan secara bersendirian tidak mampu lawan musuh negara nombor satu. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika melancarkan MASAC, berkata lebih banyak perlu dilakukan NGO untuk tangani masalah penagihan dadah.

MASAC, yang mengumpulkan banyak NGO antidadah di bawah satu bumbung, dijangka guna pelbagai kaedah untuk bantu penagih dadah meninggalkan tabiat. MASAC juga, di mana ahli majlisnya termasuk bekas penagih, akan memastikan ahli mereka diberi latihan dan mendapat sijil sebelum mengendalikan pelbagai program.

Kebimbangan kerajaan

Peruntukan tahunan RM2 juta kepada MASAC menunjukkan kebimbangan kerajaan dalam masalah dadah di negara ini. Tetapi, kerajaan perlu sediakan peruntukan lebih besar, termasuk kepada lain-lain NGO antidadah yang layak supaya mereka dapat jalankan pelbagai program menangani masalah dadah.

Cadangan lain termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah dan penubuhan Mahkamah Khas untuk bicarakan kes dadah. Cadangan ini harus dipertimbangkan kerajaan selaras dengan azam memerangi penyalahgunaan dadah secara besar-besaran tahun ini.

Mungkin kini adalah masanya bagi kerajaan ambil jalan yang jarang dilalui dan tidak menjenayahkan (decriminalise) penggunaan dan pemilikan dadah. Ini tidak bermakna Malaysia menghalalkan penyalahgunaan dadah tetapi sebaliknya melihatnya sebagai masalah perubatan. Malaysia boleh belajar pengalaman negara lain yang tidak menjenayahkan penyalahgunaan dadah seperti Portugal, Belanda dan Republik Czech. Ada kajian menunjukkan tiada peningkatan ketara penyalahgunaan dadah dan bahaya atau jenayah berkaitan dadah di negara berkenaan.

Portugal dilihat paling berjaya selepas pada 2001 memutuskan untuk tidak menjenayahkan penyalahgunaan dadah. Empat belas tahun kemudian, peratusan penduduk yang guna dadah menurun, manakala kadar jangkitan HIV dalam kalangan pengguna dadah dikurangkan pada kadar stabil.

Portugal juga menyaksikan penurunan jumlah pesalah yang dipenjarakan atas tuduhan berkaitan dadah, manakala ada peningkatan dalam bilangan orang yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan untuk penagihan dan penyakit berkaitan dadah.

Di Malaysia, ini adalah masanya bagi semua pihak untuk benar-benar serius dan bekerjasama melawan musuh negara nombor satu. Semua usaha dan inisiatif kerajaan memerangi dadah memerlukan penyertaan sepenuhnya daripada ibu bapa dan institusi keluarga bagi memastikan kejayaan.

Berita Harian X