Khamis, 26 Mei 2016 | 12:15pm

Kim Swee hanya ada 2 hari persiap Harimau Malaysia


Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyagyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Masa terus mencemburui pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, apabila sekadar memiliki tempoh dua hari untuk membentuk keserasian pemain menjelang perlawanan antarabangsa A menentang Myanmar di Yangon, Sabtu ini.

Ini kerana, sehingga sesi latihan petang semalam dia belum mampu menguji sepenuhnya 11 tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang hanya akan melapor diri hari ini selepas terikat dengan komitmen Piala AFC berdepan Kaya FC dari Filipina, malam tadi.

Begitupun pertahanan tengah Shahrom Kalam percaya situasi itu tidak menghadirkan gusar kerana lebih dari separuh pemain yang dipanggil sememangnya sudah serasi antara satu sama lain.

"Bagi saya tugasan kami kali ini agak penting kerana wajib menang ke atas Timor Leste jika ingin memastikan peluang untuk beraksi di Piala Asia 2019 terus hidup.

"Jadi, pertemuan berdepan Myanmar sangat penting dengan ia menyediakan landasan untuk kami menguji keserasian dan taktikal pasukan sebelum menentang Timor Leste," katanya ketika ditemui di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Selepas aksi pemanas badan dengan Myanmar, ujian sebenar menanti skuad kebangsaan apabila perlu melayan kunjungan Timor Leste bagi dua perlawanan play-off Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.

Ditanya apakah tekanan masih dirasai barisan pemain ekoran terikat tanpa jaringan dengan Macau pada persahabatan Mac lalu, Shahrom yang juga kapten Selangor berkata ia sudah pasti.

"Setiap perlawanan kena menang, jadi tekanan itu memang ada. Justeru sebagai pemain kami perlu memberikan segala-galanya untuk tiga perlawanan akan datang."

Pemain JDT yang akan melapor diri hari ini adalah penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan, Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohamad Fadhli Shas, Putera Nadher Amarhan Maderner, S Kunanlan dan Muhammad Fazly Mazlan.

Selain itu, kapten skuad negara Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal, S Chanturu dan Mohd Amri Yahyah serta Mahali Jasuli yang dipanggil saat akhir bagi menggantikan pertahanan kanan Pahang, Matthew Davies yang tercedera.

Berita Harian X