Khamis, 26 Mei 2016 | 12:23pm

PBSNT tengok kantung sebelum tukar import


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT),Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengakui mempunyai perancangan untuk mendapatkan beberapa pemain import baharu bagi memperkuatkan skuad Penyu.

Begitupun, pengambilan awang import baharu itu bergantung kepada kantung yang dimiliki PBSNT kerana ia memerlukan kos besar.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, berkata pihaknya mempunyai cadangan untuk menukar beberapa pemain import yang tidak memberi sebarang impak buat pasukan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) bulan depan.

Bagaimanapun, katanya, soal pertukaran itu membabitkan kos besar kerana semua pemain masih mempunyai kontrak bersama PBSNT dan ia tidak boleh dibuat sesuka hati menyingkirkan mereka.

"Kalau kita mahu tamatkan kontrak penyerang import, Juan Jose Morales sekalipun, kita perlu membayar pampasan kepada pemain ini kerana mempunyai kontrak setahun bersama Terengganu.

"Jadi, keputusan muktamad sama ada mengekalkan atau menukar mana-mana pemain import termasuk Morales kini bergantung kepada kewangan persatuan," katanya kepada BH Sukan semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan masa depan Morales bersama Terengganu mungkin tidak panjang apabila desas desus mengatakan akan ditukar menjelang jendela perpindahan kedua Liga M yang akan dibuka pada 20 Jun ini.

Penyerang import kelahiran Bella Vista, Tucuman, Argentina kini ibarat 'penumpang' dalam skuad Penyu apabila sekadar memanaskan bangku simpanan.

 

Wan Ahmad Nizam berkata, pihaknya akan berbincang dan membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan awang import Terengganu mana dikekalkan atau disingkirkan dalam mesyuarat PBSNT.

"Apa yang boleh saya beritahu, buat masa sekarang, tiada keputusan muktamad dibuat," katanya.

Berita Harian X