Rabu, 5 November 2014 | 12:02pm

Malindo Air mula beroperasi di Melaka

MELAKA: Malindo Air mula beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini dengan menawarkan penerbangan lima hari seminggu ke Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy, berkata penerbangan dua hala sekali sehari ke dua destinasi berkenaan beroperasi pada Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad.

Penerbangan dari Pulau Pinang ke Melaka yang mengambil masa 1 jam 20 minit akan berlepas pada 10.10 pagi manakala penerbangan balik akan berlepas pada jam 3.15 petang.

Penerbangan dari Melaka ke Pekanbaru yang mengambil masa 1 jam 5 minit akan berlepas pada 11.50 pagi manakala penerbangan balik akan berlepas pada jam 12.50 petang dari Pekanbaru.

"Penerbangan ke kedua-dua destinasi ini menggunakan pesawat jenis ATR-72-600 baharu yang boleh menampung seramai 72 penumpang.

"Setakat ini, jumlah penumpang bagi kedua-dua laluan berkenaan dianggarkan lebih 90 peratus keupayaan penumpang setiap penerbangan," katanya selepas majlis sambutan ketibaan pesawat Malindo Air yang pertama dari Pulau Pinang ke Melaka di LTAM di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Seramai 70 penumpang menaiki pesawat berkenaan dari Pulau Pinang ke Melaka yang tiba kira-kira pada 11.30 pagi di LTAM.

Tiket bagi laluan ke Pulau Pinang-Melaka berharga RM79 sehala manakala RM70 bagi laluan sehala dari Melaka-Pekanbaru.

Syarikat merancang untuk menambah penerbangan bagi kedua-dua destinasi berkenaan dari lima hari seminggu kepada setiap hari dalam tempoh enam bulan pertama syarikat itu beroperasi di LTAM.

Malindo turut merancang untuk menyediakan penerbangan bagi laluan Melaka ke Kota Baharu pada 21 November ini.

Malindo Air mempunyai 18 pesawat iaitu 11 daripadanya ialah jenis ATR-72-600 dan tujuh jenis Boeing 737. - BERNAMA

49 dibaca
Berita Harian X