Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:04am
PENIAGA Pasar Karat di Jalan Horley, Ipoh, Admund Kong, 63. - Foto L Manimaran
PENIAGA Pasar Loken di Jalan Horley, S Letchemanan, 59. - Foto L Manimaran
KEPAKARAN tawar-menawar penting bagi mendapatkan barang antik pada harga berpatutan. Foto L Manimaran
ADA lebih 400 gerai menjual barangan antik dan terpakai di Pasar Loken dekat Jalan Horley, Ipoh. - Foto L Manimaran

Pasar Loken lubuk antik


IPOH: Lokasi Pasar Loken dekat Jalan Horley di bandar raya ini, tidak menghalang peminat barangan antik memandu dari utara dan selatan tanah air bagi mengunjunginya, demi mencari barangan diminati.

Seawal jam 7 pagi setiap Ahad, jalan itu yang turut dikenali sebagai pasar karat itu, dipenuhi lautan orang ramai yang berpusu-pusu mencari barang diminati pada harga yang murah.

Peniaganya hanya membentangkan tikar bagi menyusun barangan jualan masing-masing, sambil berlindung dari panas di sebalik payung.

Sebut apa sahaja barangan antik atau lama yang dicari, semuanya ada di sini termasuk cerek, pinggan mangkuk bermotif flora, beg bagasi, jam antik dan terpakai, pakaian, peralatan elektronik, duit syiling dan wang kertas lama, kamera antik, alat muzik klasik, kasut, selipar, majalah dan buku lama.

Tukang kayu dari Shah Alam, Norman Hassin, 37, hampir setiap minggu mengunjungi pasar berkenaan untuk mencari barangan antik.

JALAN Horley, Ipoh, menjadi tumpuan pengunjung mencari pelbagai barangan antik, pada setiap Ahad dari mulai jam 7 pagi sehingga jam 1 tengah hari. Foto L Manimaran

PELANCONG tidak ketinggalan membeli barangan antik yang dijual di Pasar Karat, Jalan Horley, Ipoh. - Foto L Manimaran

Beliau berkata, dia mula mengumpul barang antik sejak lapan tahun lalu dan memiliki galeri seni bagi menempatkan semua koleksi yang berjaya dikumpul.

Katanya, dia akan menghubungi seorang daripada peniaga di sini jika mempunyai barangan antik tertentu yang dicari.

"Sekiranya datang ke sini, saya menghabiskan antara RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada barangan antik yang mampu diperoleh.

"Kalau pandai tawar-menawar, boleh dapat pada harga lebih murah dan kebiasaannya apa yang dicari mampu diperoleh di sini. Hampir semua peniaga barang antik di sini sudah mengenali saya," katanya ketika ditemui di sini.

Norman berkata, barangan antik yang diperolehnya kemudiannya dibaik pulih semula sebelum disewakan kepada pelanggan sebagai perhiasan acara tertentu termasuk majlis perkahwinan dan sambutan hari jadi.

ADMUND Kong, 63 (kanan) menunjukkan dulang bijih timah kepada Norman Hassin, 37, yang mengunjungi gerainya di Pasat Loken, Jalan Horley, Ipoh. - Foto L Manimaran

Mengintai Aku di Neraka karya tulisan Hadi Fayyadh turut tersenarai dalam Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Peniaga Pasar Loken, Admund Kong, 63, mengakui Norman adalah antara pelanggan tetapnya, selain ada pelancong daripada luar negara termasuk Australia dan Jepun mengunjungi gerainya.

"Ini adalah perkembangan yang bagus kerana orang luar dapat mengenali barang tradisi negara kita.

"Kebanyakan pelanggan akan bertanya mengenai barang antik yang mereka cari, kalau tiada stok, saya akan bertanya kepada kawan atau peniaga lain untuk membantu mereka memperolehnya," katanya.

Sebagai anak jati Ipoh, Admund turut melahirkan rasa teruja kerana Pasar Loken yang wujud di jalan itu mampu menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.

S Letchemanan, 59, pula mewarisi hobi mengumpul wang lama daripada ibunya yang sebelum ini turut memperoleh koleksi itu dari Brunei, Singapura dan Thailand.

"Ada juga di antara koleksi diperoleh daripada rakan yang menetap di luar negara, selain dibeli daripada pengumpul koleksi lain," katanya yang berniaga koleksi wang lama di Pasar Loken sejak lapan tahun lalu.

HERBA yang dihasilkan daripada belut turut dijual di Pasar Loken, Jalan Horley, Ipoh. - Foto L Manimaran

Letchemanan mengakui, mampu meraih pulangan lumayan hasil aktiviti jualan wang lama di pasar terbabit.

 "Hasil jualan mampu mencecah ribuan ringgit bergantung kepada tempoh wang kertas itu dikeluarkan. Semakin lama semakin tinggi nilai wang lama itu," katanya.

INFO

  • Dibuka setiap Ahad dari jam 6.30 pagi hingga 1 tengah hari
  • Jalan Horley ditutup kepada kenderaan sepanjang dua kilometer
  • Turut dikenali sebagai Memory Lane

 

Berita Harian X