Sabtu, 28 Mei 2016 | 8:02am

Aksi di Myanmar cari kombinasi terbaik - Kim Swee


KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Datuk Ong Kim Swee akan menggunakan perlawanan persahabatan dengan Myanmar hari ini sebagai medan mencari kombinasi terbaik skuad negara dalam menghadapi Timor Leste pada aksi playoff ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019, awal bulan depan.

Malaysia akan menentang Timor Leste pada aksi playoff berkenaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia itu menegaskan walaupun kombinasi baharu di setiap posisi menjadi keutamaannya, beliau tetap mengharapkan skuad kebangsaan dapat meraih keputusan positif menentang Myanmar di Stadium Pusat Latihan Belia, Yangon.

"(Sepuluh) pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) baru melaporkan diri semalam manakala selebihnya sudah berada dalam latihan pusat sejak lima hari lepas.

"Jadi, menerusi perlawanan esok (hari ini) ia memberi peluang kepada saya menilai apa yang kita lakukan dalam latihan (mampu diterjemahkan pada perlawanan hari ini) selain memilih kesebelasan terbaik apabila berdepan dengan Timor Leste nanti," kata Kim Swee pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Audio praperlawanan berkenaan diperolehi Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kim Swee berkata, beliau harus mencuba kombinasi baharu memandangkan sebahagian besar pemain yang dipanggil untuk aksi persahabatan Kelas A itu merupakan muka-muka baharu namun pada masa yang sama mengingatkan pemain untuk tidak mengambil mudah perlawanan berkenaan.

"Myanmar sudah bertambah baik dengan mempamerkan aksi mantap ketika berdepan Lubnan di tempat lawan (pada pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2019), sebelum ini dan saya melihat mereka semakin berani menampilkan banyak pemain muda yang dahagakan kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Razak yang bakal menggalas tugas selaku kapten pasukan susulan kecederaan dialami Safiq Rahim, bertekad memberikan persembahan terbaik.

"Bagi pemain, kita akan melakukan sesuatu untuk jurulatih kerana beliau akan membuat penilaian terhadap setiap pemain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila kita menentang Timor Leste nanti.

"Saya sendiri mengharapkan aksi terbaik dan kita tidak akan pandang mudah perlawanan esok (hari ini) walaupun kami (pemain JDT) baru melaporkan diri ke latihan skuad kebangsaan semalam," katanya.

Aidil Zafuan menjelaskan kehadiran semula adiknya, Zaquan Adha Abdul Radzak dalam skuad kebangsaan setelah kali terakhir pada 2012 di bawah Datuk K Rajagobal, diharap dapat menyuntik semangat untuk rakan sepasukan lain mempamerkan aksi mantap.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Myanmar, Gerd Zeise, berkata perlawanan itu akan menjadi ujian getir tetapi berharap anak didiknya akan menampilkan persembahan baik di hadapan penonton sendiri.

"Kebimbangan utama adalah penyudahan barisan serangan tetapi berharap latihan pusat selama seminggu ini mampu mengatasi kelemahan ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X