Sabtu, 28 Mei 2016 | 11:14am
SALLEH (3 dari kanan) melepaskan peserta Kayuhan Karnival Suria di Kota Kinabalu, pagi tadi. - Foto NSTP

Kayuhan Karnival Suria untuk kumpul dana


SALLEH (kanan) bersama sebahagian peserta yang mengikuti Kayuhan Karnival Suria 2016 di Kota Kinabalu. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Seramai 260 peserta menyertai Kayuhan Karnival Suria bersempena Karnival Suria 2016 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Yayasan Kebajikan Suria (YKS).

Bertempat di dataran letak kereta, Kompleks Sukan Likas, di sini, kayuhan berkenaan bertujuan mengumpul dana untuk membina bangunan baharu Yayasan Kebajikan Suria merangkumi asrama pelajar, pusat tahfiz dan pusat aktiviti komuniti setempat.

Acara pelepasan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Turut hadir ialah isterinya merangkap Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Suria, Datuk Raya Erom; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai dan Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Ali Ngasio.

Penyertaan aktiviti Kayuhan Karnival Suria terbuka kepada orang ramai namun perlu membeli kupon sumbangan antara RM10, RM30 dan RM100 bagi tujuan kebajikan.

Jarak kayuhan adalah 30 kilometer merangkumi laluan dari Kompleks Sukan Likas hingga ke Jalan Tuaran By Pass, Indah Permai, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jalan Tanjung Lipat sebelum kembali semula ke tapak karnival.

Antara aktiviti lain diadakan termasuklah pameran kereta dan motosikal, larian amal, sukan rakyat, pameran pelbagai agensi serta cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Perodua Axia dan motosikal.

Karnival yang berlangsung bermula semalam hingga esok itu juga diserikan dengan persembahan artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Ebby Kornelis dan Abu Bakar Ellah.

Berita Harian X