Sabtu, 28 Mei 2016 | 4:26pm
ANGGOTA polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang cuba meloloskan diri daripada sekatan lalu lintas. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

2 penagih rempuh sekatan polis diberkas


POLIS menahan salah seorang penunggang motosikal dalam Ops Lalu Lintas di Lebuh Ayer Keroh, Melaka, malam tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Dua penunggang motosikal, termasuk seorang yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau bagi kes samun dan pecah rumah, ditahan dalam Ops Lalu Lintas di Lebuh Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua suspek lelaki berusia 18 tahun dan 42 tahun itu cuba meloloskan diri daripada sekatan lalu lintas dengan memecut motosikal ke arah bukit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata semakan polis mendapati kedua-dua suspek lelaki itu turut positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, polis turut menemui dadah jenis heroin seberat 0.08 gram dalam poket kanan seluar suspek lelaki berusia 42 tahun.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala untuk kesalahan positif dadah, kedua-dua supek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Motosikal milik suspek turut disita," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi empat jam bermula jam 12 tengah malam itu diketuai Pegawai Penguat Kuasa Trafik Daerah Melaka Tengah, Inspektor Firdaus Syafiq Abu Talib, bersama dua pegawai dan 12 anggota.

Dalam dua operasi di Lebuh AMJ Melaka Sentral dan Lebuh Ayer Keroh itu, katanya, sebanyak 141 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan, ubah suai kenderaan, tiada lesen memandu dan tidak memakai tali pinggang.

Berita Harian X