Sabtu, 28 Mei 2016 | 10:06pm

TV3 juara Futsal Euro TNB-NPC 2016

KUALA LUMPUR: TV3 muncul juara Kejohanan Futsal Euro 2016 anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) selepas mengalahkan NSTP SC 4-2 dalam final di gelanggang futsal Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Bangsar, di sini, hari ini.

TV3, yang menggayakan jersi Belgium, menjulang trofi, pingat serta hadiah wang tunai RM2,000 manakala NSTP SC dengan memakai jersi Portugal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta pingat.

Sejumlah 15 pasukan menyertai kejohanan edisi kedua tajaan TNB. Edisi tahun ini adalah sempena Kejohanan Bola Sepak Eropah 2016 (Euro 2016) di Perancis bermula 10 Jun hingga 11 Julai ini.

Pasukan lain yang mengambil bahagian ialah Berita Harian, Sinar Harian, BERNAMA, Utusan Malaysia, The Sun, Persatuan Jurufoto Media Malaysia, Astro Awani, TNB dan media dalam talian.

Edisi tahun lalu diadakan sempena Hari Sukan Negara (10 Oktober 2015) dengan pasukan TNB muncul juara masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat Komunikasi TNB, Omar Sidek berkata aktiviti sukan itu dapat mengeratkan hubungan mereka dengan warga media.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Timbalan Presiden NPC, M. Veera Pandiyan Manickam yang turut melihat kepentingan program sukan seperti ini dalam skop hubungan antara media. - BERNAMA

Berita Harian X