Ahad, 29 Mei 2016 | 11:17am

Subjek silang budaya perlu diterapkan demi perpaduan kaum

TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Subjek silang budaya yang berupaya menjadi pemangkin penyatuan pelbagai kaum di negara ini perlu diterapkan secepat mungkin dalam kurikulum sekolah.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata subjek itu juga wajar diperluaskan ke institusi pendidikan tinggi bagi memastikan agenda kerajaan untuk merapatkan jurang perbezaan antara kaum mampu dicapai.

Katanya, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, itu perlu dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan kerana isu polarisasi kaum di negara ini semakin membimbangkan.

"Usaha ini sebaiknya perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi supaya pengajarannya untuk murid prasekolah hingga menengah rendah mampu memupuk erti perpaduan.

"Interaksi di antara pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti etnik, budaya dan agama di universiti ketika ini masih rendah kerana mereka cenderung bergaul dengan kumpulan masing-masing.

"Situasi sama berlaku di sekolah kerana guru lebih selesa bercampur dengan kaum mereka sendiri, terutama ketika rehat dan selepas waktu pengajaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, polarisasi kaum akan menjadi penghalang utama perpaduan dan pembangunan negara melainkan ia ditangani secara tuntas.

Katanya, kajian indeks perpaduan dikendalikan Kementerian Pendidikan pada 2014 menunjukkan interaksi di antara guru dan pelajar adalah pada kadar 6.69.

"Perangkaan ini bermaksud interaksi di antara guru dan pelajar adalah erat, namun kajian itu mendedahkan keupayaan guru dan pelajar untuk menerima perbezaan kaum, budaya dan agama masih pada tahap rendah.

"Sehubungan itu, generasi muda perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan perpaduan, ikatan kemasyarakatan dan keharmonian antara kaum kerana ia adalah teras pembangunan negara," katanya.

Berita Harian X