Ahad, 29 Mei 2016 | 6:49pm
Dalam banjir kilat bermula jam 2.30 pagi, sebuah kereta milik pelancong turut rosak dihempap pokok manakala beberapa rumah penduduk turut dinaiki air 0.3 meter.. - Foto ihsan Bomba

Jambatan runtuh, 6 kenderaan hanyut di Cameron Highlands

Banjir kilat di Sungai Ulu Telom, Cameron Highlands, menyebabkan kerosakan harta benda dan penduduk Orang Asli di Pos Terisu terputus hubungan kerana jambatan ke penempatan itu runtuh. - Foto ihsan Bomba

CAMERON HIGHLANDS: Banjir kilat selama sejam di tanah tinggi ini awal pagi tadi menyebabkan sebuah jambatan menghubungkan perkampungan Orang Asli runtuh manakala tiga kereta dan tiga motosikal dihanyutkan arus.

Dalam kejadian itu bermula kira-kira jam 2.30 pagi, sebuah kereta milik pelancong turut rosak akibat dihempap pokok manakala beberapa rumah penduduk turut dinaiki air setinggi lebih kurang 0.3 meter.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman, berkata sebuah jambatan yang menghubungkan jalan raya utama dengan perkampungan Orang Asli Pos Terisu di Batu 49, Kuala Terla, runtuh, selepas dilanda arus deras Sungai Ulu Telom.

Orang Asli di Pos Terisu terputus hubungan selepas jambatan menghubungkan penempatan mereka runtuh akibat banjir kilat di Sungai Ulu Telom. - Foto ihsan Bomba

"Dipercayai lokasi jambatan yang runtuh adalah tempat di mana laluan arus dua anak sungai iaitu Sungai Tringkap dan Sungai Kuala Terla bertembung masuk ke sungai utama iaitu Sungai Ulu Telom yang terletaknya jambatan itu.

"Dalam pada itu, penduduk sekitar bergotong-royong dengan menggunakan besi untuk dijadikan laluan sementara kegunaan motosikal bagi menggantikan jambatan berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga kereta dan tiga motosikal yang hanyut itu pula berlaku di Jalan Kolam Air, Brinchang, dengan semua kenderaan itu mengalami kerosakan akibat dimasuki air.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku selain tiada penduduk dipindahkan manakala air surut kira-kira sejam kemudian.

Berita Harian X