Rabu, 5 November 2014 | 6:58pm

Jalan Ranau-Tamparuli ditutup kerana tanah runtuh


TANAH runtuh di KM 28 Jalan Ranau-Tamparuli, Kampung Kiau, Kota Belud, hari ini. - Foto ihsan JPAM

KOTA KINABALU: Kejadian tanah runtuh di Kilometer 28, Jalan Ranau-Tamparuli dekat sini hari ini menyebabkan jalan itu ditutup kepada semua lalu lintas.

Kejadian tanah runtuh itu di Kampung Kiau, Kota Belud kira-kira 80km dari sini dipercayai berlaku sekitar 1.50 tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan jalan itu akan dibuka semula pada pukul 9 malam ini dan kontraktor Lintasan Resources Sdn Bhd sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Setakat ini, kedua-dua lorong ditutup dan tidak boleh dilalui. Cuaca di lokasi sekarang hujan renyai-renyai, tiada jalan alternatif yang terdekat. Jarak lokasi dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kota Belud ialah 53km," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta kerjasama kontraktor untuk membuka laluan satu lorong sekiranya keadaan selamat.

Katanya, pengguna jalan raya dari pantai timur Sabah boleh menggunakan laluan alternatif, Jalan Paitan-Kota Marudu atau Ranau-Tambunan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud berkata pihaknya menerima laporan kejadian tanah runtuh itu daripada orang awam sejak 2 petang tadi.

Beliau berkata tiada mangsa atau kenderaan tertimbus dalam kejadian itu.

- BERNAMA

Berita Harian X