Isnin, 30 Mei 2016 | 8:32pm

RM460 juta untuk masjid, surau di Selangor


PENGARAH JAIS, Datuk Haris Kasim. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM460 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam usaha memantapkan dan memperkasakan pengurusan masjid serta surau di Selangor. 

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata sumbangan dan keprihatinan kerajaan negeri dalam meningkatkan serta memperkasakan masjid dan surau di negeri itu amat dihargai.

"Sejumlah RM448 juta diperuntukkan untuk pembangunan masjid dan Sekolah Rendah Agama (SRA) melalui rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

"Peruntukkan sebanyak RM6 juta pula diberikan untuk pembinaan surau serta baik pulih dan penyelenggaraan masjid manakala peruntukkan baik pulih dan penyelenggaraan SRA, SRAI, Maahad Tahfiz sejumlah RM2.6 juta," katanya.

Beliau berucap sempena Majlis Perasmian Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor serta Penyampaian Sumbangan Moreh Bulan Ramadan 1437H di sini, hari ini. 

Haris berkata, bantuan moreh berjumlah RM2.2 juta pula diagihkan mengikut tiga kategori iaitu masjid (RM1,650); surau solat Jumaat (RM1,250) dan surau biasa (RM1,000).

"Kerajaan negeri juga berbesar hati untuk memberi peruntukkan tambahan berjumlah RM1.35 juta sebagai imbuhan tambahan kepada imam-imam masjid kariah berjumlah RM150 seorang," katanya. 

Haris berkata, beberapa garis panduan juga sudah ditetapkan oleh MAIS antaranya semua masjid dan surau adalah dilarang untuk melantik imam-imam tarawih dari negara luar dan amat digalakkan melantik imam tempatan yang terdiri daripada pelajar tahfiz dalam negara. 

"Masjid dan surau di seluruh negeri juga digalakkan melaksanakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat seperti yang diamalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan tidak mengadakan tazkirah atau ceramah di pertengahan solat tarawih," katanya. 

Berita Harian X