Selasa, 31 Mei 2016 | 12:02pm

Program PERMATA wajar diperluaskan - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Program Permata sempena pelancaran`Permata International Conference 2016 di PWTC. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Program PERMATA Negara (PERMATA) wajar diperluaskan di seluruh negara menerusi penubuhan lebih banyak pusat dan program pendidikan PERMATA, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu berupaya memastikan program PERMATA yang bermula 2006 dapat diterapkan dan berakar umbi dalam masyarakat.

"Saya mahu melihat lebih banyak pembabitan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan inisiatif ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa PERMATA di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri selaku Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor.

Persidangan bertemakan 'Children Beyond Tomorrow' diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

Persidangan itu menggabungkan kesemua tujuh bidang PERMATA meliputi PERMATA Negara, PERMATA Pintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan, Perkasa Remaja, PERMATA Kurnia dan Hospital Pakar Kanak-Kanak PERMATA.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan kanak-kanak memiliki masa depan yang baik, golongan itu perlu diberikan peluang yang adil dalam mengembangkan bakat masing-masing.

Beliau berkata, selaras dengan falsafah Program PERMATA bahawa setiap kanak-kanak adalah berharga dan tiada kanak-kanak yang tercicir, kerajaan mahu generasi muda berupaya menyertai sepenuhnya proses inovasi dengan cekap, disiplin kendiri, berdepan rintangan dan prihatin terhadap pihak lain.

11 dibaca
Berita Harian X