Selasa, 31 Mei 2016 | 2:59pm

Penerokaan lama punca banjir kilat di Cameron Highlands - MB

KEADAAN jambatan utama di Kuala Terla yang runtuh. - Foto BERNAMA
KEADAAN jambatan utama di Kuala Terla yang runtuh. - Foto BERNAMA

TEMERLOH: Kejadian banjir kilat di Kuala Terla, Cameron Highlands, Ahad lalu berpunca daripada penerokaan tanah secara haram yang lama bukannya aktiviti baru diluluskan kerajaan seperti dilaporkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata dakwaan mengatakan ia berpunca daripada pembukaan dan penerokaan tanah baru diluluskan kerajaan adalah tidak benar sama sekali kerana sekarang ini tiada penerokaan haram.

"Apa yang (penerokaan baru) dilaporkan di Cameron Highlands baru-baru ini berlaku di sempadan Kelantan-Pahang iaitu di Lojing.

"Kerajaan negeri sudah serahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memantau, kita tidak mampu (untuk mengawal penerokaan," katanya selepas merasmikan Pelan Strategik Pembangunan Perumahan Parlimen Temerloh 2016-2020 dan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di sini, hari ini.

Kejadian banjir kilat di Cameron Highlands, Ahad lalu menyebabkan 1,000 Orang Asli terkandas apabila jambatan utama di Kuala Terla menghubungkan empat kampung runtuh.

Sementara itu, Adnan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang meminta pemimpin komponen berfikiran rasional dalam membuat kenyataan berhubung isu usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Rang Undang-Undang Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

"Saya berharap parti komponen BN kaji dahulu, ia bukannya hudud seperti apa yang dinyatakan sebaliknya adalah penambahbaikan (undang-undang syariah) di Kelantan.

"Jangan kita bergaduh disebabkan perkara itu, apa yang mustahak adalah kita bersatu untuk memenangkan pilihan raya umum sekali gus hati rakyat berbilang kaum bagi meneruskan pembangunan dirancang," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X