Rabu, 5 November 2014 | 10:07pm
Litar Valencia, Sepanyol.

Empat pelumba negara idam keputusan terbaik GP Valencia

KUALA LUMPUR: Empat pelumba negara berharap untuk mencatat keputusan terbaik pada perlumbaan akhir musim ini - Grand Prix Valencia di Litar Valencia, Sepanyol, hujung minggu ini.

Mereka ialah Azlan Shah Kamaruzaman dan Hafizh Syahrin Abdullah, masing-masing bersaing dalam kategori Moto2 serta Zulfahmi Khairuddin dan AmirulHafiq Azmi dalam kategori Moto3.

Azlan Shah yang akan kekal bersama pasukannya, Idemitsu Honda Team Asia tahun depan, berharap pengalamannya beraksi di litar berkenaan akan dapat membantunya memperoleh keputusan lebih baik pada perlumbaan itu.

"Perlumbaan kali ini adalah yang kedua saya beraksi di Valencia. Saya harap segalanya berjalan lancar bermula daripada sesi latihan sehingga hari perlumbaan," kata Azlan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Hafizh Syahrin yang beraksi bersama pasukan Petronas Raceline, mensasarkan menamatkan saingan di kedudukan 10 teratas pada perlumbaan Ahad ini, selepas nasib malang menimpanya setelah terbabit dalam kemalangan pada GP Malaysia, duaminggu lalu.

Zulfahmi yang gagal memperoleh sebarang mata di Sepang, akan berusaha mencatat keputusan terbaik musim ini di Valencia, sambil melahirkan keyakinan untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba teratas pada perlumbaan itu.

"Saya akan menampilkan yang terbaik Ahad ini untuk mengubat kekecewaan pada perlumbaan di GP Malaysia. Kekecewaan di Sepang tidak sedikit pun menjejaskanhasrat saya untuk mencatat kejayaan pada perlumbaan akhir musim ini," kata pelumba pasukan Ongetta-Airasia itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja, keluarga dan sesiapa sahaja yang membantu saya musim ini," kata Zulfahmi yang akan menyertai pelumba kelahiran Republik Czech, Jakup Kornfeil dalam pasukan baharu, SIC Racing Team,musim depan.

Beraksi dalam kategori Moto3, Amirul Hafiq yang mempamerkan prestasi membanggakan di Litar Sepang untuk memperoleh mata pertamanya dalam saingan GP musim ini, pula berharap dapat mengutip lebih banyak mata pada perlumbaan hujung minggu ini.

"Saya pernah berlumba di Valencia pada perlumbaan FIM CEV tahun lepas. Saya layak beraksi selepas menduduki tempat ketiga tetapi saya tidak dapat berlumba disebabkan kecederaan," kata pelumba pasukan SIC-Ajo itu.

Sesi latihan bebas GP Valencia bermula pada Jumaat, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu sebelum hari perlumbaan pada Ahad. - BERNAMA

Berita Harian X