Selasa, 31 Mei 2016 | 10:28pm

Arpin Draman letak jawatan Setiausaha Agung PBSNT


ARPIN Draman.

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Draman, secara rasmi melepaskan jawatan selepas tiga tahun memegangnya, berkuat kuasa hari ini.

Peletakan jawatan bekas Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu atas sebab kesihatan dan ingin berehat daripada bergiat aktif dalam sukan bola sepak.

Begitupun, BH difahamkan peletakan jawatan itu mungkin disebabkan tekanan sepanjang memikul tugas berat dalam badan induk negeri ini.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, mengesahkan peletakan jawatan 'orang kuat' dalam persatuan itu.

Beliau mengakui sudah menerima surat peletakan jawatan itu sebelum ini, namun masih mengharapkan supaya Arpin berubah fikiran untuk kekal dalam PBSNT.

"Begitupun, saya terpaksa akur dengan keputusan muktamad Arpin untuk meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung PBSNT.

"Saya tidak menolak faktor tekanan mempengaruhi peletakan jawatan Arpin dan tidak mahu memaksa beliau berbuat demikian sebaliknya menghormati keputusan yang diambil," katanya.

Wan Ahmad Nizam berkata, penolong pengurus pasukan Liga Super Terengganu, Che Abd Rani Mohd akan memikul tugas sementara sebelum pelantikan Setiausaha Agung PBSNT baharu dibuat.

Sebelum ini, kem Terengganu dikejutkan peletakan jawatan pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong selepas mendapat tekanan daripada pelbagai pihak termasuk peminat kerana prestasi skuad Penyu.

Berita Harian X